PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan untuk tidak mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Johor dan Negeri Sembilan secara serentak.
SPR dalam sidang media hari ini menetapkan tarikh 11 Julai depan sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, manakala 1 Ogos depan bagi PRN Negeri Sembilan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 27 Jun, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Dalam pada itu, bagi penamaan calon PRN Negeri Sembilan pula ditetapkan pada 18 Julai, manakala 28 Julai adalah hari pengundian awal.
“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 27 Jun 2026 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 10 Julai 2026 (Jumaat) bagi PRU Dewan Negeri Johor Ke-16, manakala bagi urusan PRU Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16 ditetapkan mulai pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 18 Julai 2026 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 31 Julai 2026 (Jumaat),” katanya.

Jelas Ramlan lagi, sejumah 56 orang pegawai pengurus pilihan raya akan dibantu oleh 187 orang penolong pegawai pengurus, manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 56 Pasukan Penguat Kuasa.
“Sementara itu bagi menjalankan proses PRU Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16 pula, SPR telah melantik lapan Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 95 orang Penolong Pegawai Pengurus.
“Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 36 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ramlan berkata, bagi PRN Johor kos perbelanjaan dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM86.8 juta dan PRN Negeri Sembilan pula dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM80.6 juta.
Untuk rekod, PRN Johor menyaksikan sejumlah 2,703,175 pengundi biasa dengan 12,041 tentera serta pasangan, dan 12,710 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am
(PGA) direkodkan.
Bagi PRN Negeri Sembilan pula, melibatkan 889,490 pemilih terdiri daripada 867,151 pengundi biasa dengan 16,884 tentera serta pasangan, dan 5,455 polis layak mengundi berdasarkan kepada Daftar Pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2026 yang dikemas kini sehingga 4 Jun lalu.
Pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi, setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Ia disusuli pengumuman pembubaran DUN Negeri Sembilan dengan 36 kerusi oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun keesokan harinya setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – MalaysiaGazette
















