Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cadangan memindahkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) ke lokasi lain termasuk Melaka adalah tidak sesuai kerana Langkawi telah sinonim dengan acara berkenaan sejak 1991.

Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, LIMA bukan sekadar acara pameran sebaliknya mempunyai kaitan rapat dengan kedudukan strategik, geografi dan pembangunan pelancongan Langkawi.

Menurutnya, kewujudan lapangan terbang antarabangsa, landasan yang mampu menempatkan pelbagai jenis pesawat tempur serta perairan terbuka menjadikan Langkawi lokasi ideal untuk segmen udara dan maritim.

Katanya, perairan Langkawi turut sesuai untuk kapal-kapal perang berlabuh dan mengadakan demonstrasi maritim.

Menurutnya, cadangan memindahkan LIMA bukan perkara baharu kerana sekitar 2003 hingga 2005 pernah timbul ura-ura untuk menganjurkannya di Kota Kinabalu, Sabah.

Katanya, Subang pula lebih sesuai untuk acara aeroangkasa manakala Melaka sudah mempunyai Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) yang boleh diperkasakan.

“Jika mahu memperkukuhkan sektor aeroangkasa di Melaka, KUAM boleh diperbesar tanpa perlu mengambil identiti dan nama LIMA.

“Jika LIMA dianjurkan di lokasi lain, penggunaan nama LIMA sendiri tidak lagi begitu sesuai kerana identitinya sememangnya sinonim dengan Langkawi,” katanya dalam kenyataan.

Zaki Salleh.

Beliau berkata, LIMA merupakan acara berorientasikan perdagangan, industri pertahanan dan hubungan strategik antarabangsa bukannya semata-mata untuk mengejar jumlah kehadiran pengunjung.

Sebaliknya, nilai sebenar LIMA terletak pada pertemuan kerajaan, angkatan tentera, pemain industri, pelabur dan delegasi antarabangsa.

LIMA sejak tiga dekad lalu merupakan platform menghasilkan peluang perdagangan serta kerjasama strategik bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga rantau Asia.

Kredibiliti LIMA juga tidak mampu ditandingi beberapa penganjuran sama seperti Singapore Airshow di Singapura, dan Bali International Airshow (Indonesia).

Zaki berkata, Langkawi turut mempunyai kelebihan dari aspek keselamatan kerana kawasan perairan terbuka dapat mengurangkan risiko kepada penduduk ketika demonstrasi udara dan maritim berlangsung.

Beliau yang mengikuti LIMA sebagai wartawan dan penganalisis pertahanan sejak 1999 berkata, pemindahan lokasi bukan sekadar menukar venue tetapi berisiko memisahkan LIMA daripada identiti berkelas dunia yang dibina. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Melaka sedia anjur LIMA jika diberi kepercayaan – Ab Rauf

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here