MELAKA – Melaka bersedia menjadi tuan rumah Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) sekiranya diberi kepercayaan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menganjurkan acara dwitahunan berprestij itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, negeri itu berupaya memikul tanggungjawab berkenaan berdasarkan pengalaman menganjurkan pelbagai acara bertaraf antarabangsa.
“Kecil tapak tangan, nyiru kita tadahkan kerana kita yakin dan percaya Melaka bukan sekadar negeri kecil, tetapi berupaya menganjurkan acara-acara bertaraf dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) di Dataran 1 Malaysia, Klebang di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Menurut Ab Rauf, kemampuan Melaka menganjurkan acara bertaraf antarabangsa terbukti menerusi penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) pada tahun lalu.
“Seramai 121 pemain industri pelancongan termasuk menteri-menterinya datang ke Melaka dalam suasana yang penuh gilang-gemilang dan bertaraf dunia.
“Insya-Allah, kalaulah ditakdirkan kemungkinan (penganjuran LIMA) ini berlaku, kerajaan negeri bersedia untuk memikul tanggungjawab memastikan ia tidak akan mengecewakan,” katanya.
Bagaimanapun, ketika ditemui pemberita selepas itu, Ab Rauf berkata, cadangan penganjuran LIMA di Melaka masih di peringkat awal dan perlu diteliti secara mendalam, khususnya dari aspek kewangan serta keperluan infrastruktur.
“Itu pada peringkat awal (cadangan) kerana kerangka awal yang akan difikirkan disebabkan infrastruktur untuk menganjurkan LIMA ini memerlukan perbelanjaan besar.
“Memang Melaka adalah sebuah negeri yang strategik untuk menganjurkannya, tetapi kita kena lihat juga kepada kemampuan kita,” katanya.
Menurut Ab Rauf, perkara itu memerlukan perbincangan lanjut dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak berkaitan bagi menilai manfaat serta kebolehlaksanaan penganjuran acara berkenaan di Melaka.
“Ia boleh dibincangkan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan jika ia benar-benar memberi manfaat, kenapa tidak boleh dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















