LONDON – Chelsea dilaporkan sedang memantau situasi penyerang Manchester United, Marcus Rashford, lapor MEN.
Chelsea dikatakan bersedia mendapatkan penyerang berusia 28 tahun itu pada musim panas ini yang sebelum ini dipinjamkan ke Barcelona musim lalu.
Namun, minat Chelsea itu dikatakan hanya melibatkan pilihan pinjaman kepada Rashford.
“Masih belum ada petunjuk mengenai perpindahan secara tetap, menjadikan situasi Rashford terbuka kepada pelbagai kemungkinan.
“Dengan masa depannya di Old Trafford yang terus menjadi bahan spekulasi, beberapa minggu akan datang boleh menjadi tempoh penting buat penyerang England itu.
“Buat masa ini, khabar angin perpindahan ke Chelsea masih sekadar minat dan belum menuju ke arah sebarang persetujuan konkrit,” kata laporan itu.
Rashford sebelum ini dikatakan kecewa dengan Barcelona yang enggan mengaktifkan perpindahannya secara tetap.
Sebaliknya, kelab gergasi Sepanyol itu menyelesaikan perpindahan Anthony Gordon dari Newcastle United di mana satu langkah menjejaskan peluang Marcus Rashford untuk kekal di Camp Nou secara tetap.
Menurut laporan, Barcelona telah mencapai persetujuan dengan Newcastle untuk nilai perpindahan sekitar GBP69.3 juta (RM368.96 juta), dan Gordon dijangka menjalani pemeriksaan perubatan sebagai langkah terakhir sebelum perpindahan rasmi diumumkan. – Agensi
















