KUALA LUMPUR – Malaysia menzahirkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam kepada Kerajaan serta rakyat Filipina susulan gempa bumi yang melanda kawasan luar perairan Sarangani di Selatan Mindanao pada 8 Jun lalu.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Malaysia amat berduka cita atas kehilangan nyawa, kecederaan dan kehilangan tempat tinggal akibat malapetaka yang berlaku.
“Kerajaan dan rakyat Malaysia turut bersimpati dan menzahirkan solidariti kepada rakyat Filipina yang terkesan.
“Malaysia juga bersedia untuk menghulurkan sebarang bantuan kepada kerajaan Filipina sekiranya diperlukan,” katanya.
Jelasnya, Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Filipina atas bantuan dan perhatian yang diberikan kepada rakyat Malaysia yang berada di kawasan terlibat, termasuk di General Santos City dan kawasan berhampiran.
Media sebelum ini melaporkan, angka korban gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 yang melanda luar pantai Mindanao di selatan Filipina awal minggu ini meningkat kepada lebih 45 orang.
Gempa bumi yang berlaku pada 7.37 pagi waktu tempatan Isnin di luar pantai wilayah Sarangani menyebabkan kerosakan meluas di beberapa kawasan di Mindanao, meruntuhkan bangunan, mengganggu bekalan elektrik dan air serta mencetuskan tanah runtuh di beberapa lokasi.
Gempa bumi itu mencetuskan sekurang-kurangnya 10 kejadian tanah runtuh, termasuk beberapa insiden di wilayah selatan Mindanao. – MalaysiaGazette
















