KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Eric See-To (Lim Sian See) mempersoal kehadiran Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Syam Ghaz ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang dirujuk sebagai pejabat lamanya.
See-To yang juga pengkritik kerajaan turut mempertikai bagaimana aktivis politik itu atau nama sebenarnya Mohd. Hisyamuddin Ghazali boleh dilantik berkhidmat dalam badan bebas seperti MCMC.
“Pejabat lama dia MCMC? Ini agak mengejutkan dan Syam Ghaz perlu jelaskan. Bila sebenarnya dia pernah bekerja atau berkhidmat dengan MCMC? Apa jawatan dia dan bagaimana dia dilantik?
“MCMC sepatutnya sebuah suruhanjaya BEBAS dan profesional. Ia bukan pejabat ahli parti politik. Ia bukan bilik gerakan cybertrooper Pakatan Harapan (PH),” demikian menurut hantaran beliau dalam laman Facebook.
See-To merujuk hantaran Syam Ghaz dalam laman Facebooknya dua hari lalu yang menyatakan: “Sampai ke pejabat lama saya dulu, MCMC … Ada kerja sikit lawan yang suka fitnah tu kita benam! Yang fitnah sahaja, yang tak fitnah jangan risau.”
Pengkritik kerajaan itu selanjutnya menyatakan hantaran Syam Ghaz untuk `benam’, menimbulkan persepsi yang sangat buruk.
Sehubungan itu, beliau mahukan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalannya, Teo Nie Ching memberi penjelasan sama ada MCMC pernah melantik ahli parti, aktivis politik PH atau cybertrooper politik untuk apa-apa peranan rasmi atau tidak rasmi.
“Rakyat berhak tahu sama ada institusi seperti MCMC masih bebas atau sudah dijadikan alat politik untuk `benam’ dan menekan pengkritik kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette















