KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melaksanakan operasi pemusnahan objek disyaki bahan letupan tidak meletup (UXO) yang ditemui di perairan Pulau Mamutik, Sabah.
Operasi pemusnahan itu dijalankan hasil kerjasama antara Cawangan Selam Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur) dan Depot Peluru dan Bahan Letupan Timur (DPBLT) selepas objek berkenaan ditemukan oleh seorang pemandu aktiviti menyelam pada 9 Jun lalu.
Objek berkarat sepanjang kira-kira 25 sentimeter itu ditemukan di dasar laut sebelum penemuan tersebut dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi pengurusan Taman Tunku Abdul Rahman.
Markas Pemerintahan Armada Timur Sabah dalam kenyataan berkata, susulan laporan diterima, penilaian awal mendapati objek berkenaan berpotensi sebagai bahan letupan lama yang masih boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan awam.
“Memandangkan lokasi penemuan berada di kawasan perairan, operasi pemusnahan diserahkan kepada pasukan Explosive Ordnance Disposal (EOD) TLDM selaras dengan Operation Planning Committee (OPC) No. 8.
“Pasukan EOD yang terdiri daripada anggota Cawangan Selam MPA Timur dan DPBLT kemudian menjalankan pemeriksaan teknikal menyeluruh sebelum melaksanakan pemusnahan terkawal mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.
“Operasi itu diketuai Komander Ts. Ahmad Firdaus Zakaria yang menyelaras pelaksanaan setiap fasa operasi bagi memastikan semua prosedur keselamatan dan piawaian EOD dipatuhi sepenuhnya,.
“Hasil operasi tersebut, kawasan perairan Pulau Mamutik kini disahkan selamat untuk aktiviti pelancongan, rekreasi marin dan pelayaran setempat,” katanya.
Markas berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada PDRM Kota Kinabalu, pengurusan Taman Tunku Abdul Rahman, komuniti maritim, pengusaha resort dan pengendali aktiviti pelancongan yang bertindak pantas melaporkan penemuan objek mencurigakan itu.
Menurutnya, kejayaan operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan TLDM dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa berada pada tahap terbaik, selain memperkukuh kerjasama antara agensi penguat kuasa dan komuniti maritim.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyentuh, mengalihkan atau cuba memusnahkan sendiri sebarang objek mencurigakan yang ditemui di laut.
Sebaliknya, kata beliau, sebarang penemuan hendaklah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil demi keselamatan semua pihak. – MalaysiaGazette















