KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam melalui pegawai MAQIS AKPS menahan dan menyita satu konsainan ayam sejuk beku yang disyaki menggunakan sijil halal palsu di Bay Pemeriksaan E3, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Fauzi Mohd Yusof berkata, pegawai MAQIS AKPS pada 8 Jun lalu menerima dokumen pengisytiharan import ayam sejuk beku yang dikemukakan oleh ejen pengimport bagi tujuan pemeriksaan dan pengesahan.
Menurutnya, hasil semakan awal mendapati terdapat keraguan terhadap sijil halal yang dikemukakan selepas pemeriksaan dibuat melalui sistem semakan sijil halal secara dalam talian.
Tambah beliau, semakan lanjut mendapati maklumat yang direkodkan dalam sistem berbeza dengan maklumat yang terkandung dalam sijil halal yang dikemukakan oleh pihak ejen atau wakil pengimport.
“Susulan itu, pihak MAQIS AKPS telah mengemukakan perkara tersebut kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk pengesahan.
“Pada 12 Jun lalu, Jakim telah mengesahkan bahawa sijil halal yang dikemukakan adalah palsu.
“Sehubungan itu, tindakan penahanan dan penyitaan telah dilaksanakan bagi membolehkan siasatan serta tindakan lanjut diambil oleh pihak MAQIS Negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Fauzi, siasatan awal mendapati pihak ejen/wakil pengimport menggunakan dokumen palsu untuk melepasi pemeriksaan agensi penguatkuasaan.
Menurut beliau, pihak AKPS tidak menolak kemungkinan kewujudan sindiket yang terlibat dalam pengeluaran dan penggunaan sijil halal palsu bagi tujuan pengimportan produk makanan ke negara ini.
Jelasnya, konsainan yang ditahan melibatkan 26,040 kilogram ayam sejuk beku dengan nilai anggaran sebanyak RM208,320 berdasarkan harga dan berat yang diisytiharkan dalam permit import.
“Sebuah treler yang digunakan untuk membawa muatan tersebut turut ditahan dengan nilai anggaran RM25,000.
“Jumlah keseluruhan nilai sitaan dianggarkan sebanyak RM233,320,” katanya.
Tambah beliau, AKPS akan terus memperkukuh kawalan sempadan serta bekerjasama rapat dengan agensi-agensi penguat kuasa berkaitan bagi memastikan keselamatan makanan negara, integriti pensijilan halal dan pematuhan terhadap peraturan import sentiasa terpelihara.
“AKPS memandang serius sebarang cubaan untuk mengemukakan dokumen palsu, khususnya yang melibatkan pensijilan halal.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti ini.
“Kami akan terus memperkukuhkan pemeriksaan dan kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi memastikan hanya produk yang mematuhi syarat dan peraturan dibenarkan memasuki negara,” katanya. – MalaysiaGazette















