JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengalu-alukan penubuhan parti politik baharu tetapi tetapi berharap tidak akan memecah-belahkan orang Melayu
Beliau yang juga Presiden UMNO menambah, penubuhan parti politik baharu oleh mana-mana individu atau pihak seharusnya digunakan untuk menyatu-padukan pemikiran orang Melayu.
“Apapun wadah yang digunakan apabila akhirnya kita dapat menyatukan, tindakan kita atas agenda negara, agenda Islam dan agenda anak bangsa kita, insya-Allah.
“Dokongan akan dapat kita berikan kerana kita juga telah bersama-sama untuk bertemu dalam wacana ataupun perbincangan melalui kolaborasi nasional yang telah kita adakan,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn di sink hari ini.
Katanya, perbezaan pemikiran diharap dapat diterjemah dalam bentuk agenda nasional, agenda Islam dan agenda anak bangsa dengan tidak mengenepikan mana-mana kaum serta agama lain.
Zahid berkata, menerusi inisiatif Rumah Bangsa yang diperkenalkan UMNO sudah berjaya mewujudkan perpaduan nasional.
Semalam Ketua Gerakan Reset Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan bahawa gerakan itu akan bergerak di bawah sebuah parti baharu dikenali sebagai Parti Wawasan Negara dalam usaha memperkukuh kerjasama politik bersama pelbagai blok di negara ini.
Menurut beliau, parti itu diwujudkan sebagai wadah penyatuan yang akan bekerjasama dengan Pas dan parti-parti lain yang sehaluan bagi membentuk kesepahaman politik yang lebih komprehensif dan meyakinkan.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Ahmad Zahid bertemu orang ramai dalam Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn, Johor Bahru, hari ini.
















