Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sedang memantau rapi perkembangan fenomena El Niño yang dijangka mula mempengaruhi cuaca negara dalam tempoh terdekat dan berkemungkinan berterusan sehingga awal tahun 2027.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, fenomena tersebut dijangka menyebabkan cuaca lebih panas dan kering daripada biasa, khususnya sepanjang Monsun Barat Daya yang bermula sejak 14 Mei 2026 dan dijangka berterusan sehingga September 2026.

Keadaan itu berpotensi mengurangkan jumlah hujan di beberapa kawasan, meningkatkan risiko kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu.

Katanya, sebagai langkah kesiapsiagaan, MET Malaysia telah memperkukuhkan penyampaian maklumat cuaca dan amaran awal kepada kerajaan, agensi berkaitan dan orang ramai.

Sehingga Jun 2026, MET Malaysia telah melaksanakan lebih 70 sesi taklimat, mesyuarat dan program libat urus berkaitan cuaca panas dan kering di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.

Antara sesi utama yang telah dilaksanakan termasuk taklimat kepada Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Jabatan Pertanian Malaysia serta pembentangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Daerah (JPBD) di seluruh negara.

MET Malaysia juga menyediakan ramalan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut sehingga tujuh hari ke hadapan, mengeluarkan ramalan jerebu serta bersedia membantu pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) sekiranya diperlukan dan keadaan cuaca mengizinkan.

“Orang ramai disaran untuk sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui aplikasi myCuaca dan laman sesawang rasmi MET Malaysia, menggunakan air secara berhemah serta mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

MET Malaysia akan terus komited menyediakan maklumat cuaca yang tepat dan tepat pada masanya bagi membantu negara membuat persediaan awal menghadapi sebarang risiko cuaca ekstrem.

 

 

Sumber:

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast