JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan mengumumkan calon mereka bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam beberapa minggu lagi.
Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, ini termasuk manifesto parti, penubuhan satu blok progresif yang akan disertai mereka dan hal-hal penting berkaitan pilihan raya.
“MUDA sudah bersedia untuk bertanding sebagai sebuah parti politik yang mengangkat suara rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa dan kelas ekonomi.
“Fokus MUDA adalah berteraskan dasar-dasar reformasi institusi negeri, tumpuan kepada krisis perubahan iklim dan peluang ekonomi kepada rakyat.
“Sejak tahun 2022, MUDA sudah berkhidmat dan menyumbang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi kerusi Puteri Wangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, menjadi tanggungjawab MUDA menggalas amanah rakyat Johor dengan menambah bilangan wakil rakyat yang akan mengangkat suara mereka.
Katanya yang juga Penyandang kerusi DUN Puteri Wangsa, MUDA akan mengangkat suara rakyat dalam melawan rasuah, tegas dengan reformasi institusi serta bijak membawa dasar-dasar yang baik.
PRN Johor Ke-16 akan berlangsung pada 11 Julai ini, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Malam tadi, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan calon pertama gabungan itu iaitu penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern bagi mempertahankan kerusi berkenaan. – MalaysiaGazette
















