KUALA LUMPUR – Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dan ahli keluarganya dengan pembelian atau pemilikan hartanah mewah seperti yang tular menerusi beberapa video di media sosial.
Rosmah berkata, tuduhan yang tersebar di platform termasuk X dan Facebook itu adalah palsu, tidak berasas serta bertujuan mencemarkan nama baik beliau dan keluarganya.
“Saya menafikan semua dakwaan tersebut.
“Saya tidak pernah terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pembelian, pembiayaan, pemindahan atau pemilikan mana-mana hartanah mewah, termasuk hartanah yang didakwa bernilai AS$13 juta.
“Saya juga tidak pernah membiayai, membantu atau mengatur sebarang urusan sedemikian bagi pihak menantu saya atau mana-mana individu dan syarikat lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan shell company (syarikat yang wujud hanya atas kertas), melaksanakan urusan kewangan luar pesisir serta hubungan dengan individu atau syarikat yang disebut dalam video berkenaan.
Menurut Rosmah, semua dakwaan itu direka-reka dan tidak disokong oleh sebarang bukti yang boleh dipercayai.
“Dakwaan ini adalah fitnah yang sengaja direka untuk memburukkan nama saya dan keluarga.
“Ia tidak disokong oleh sebarang bukti yang sahih dan jelas merupakan satu usaha terancang untuk menjatuhkan reputasi kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, tegasnya, penyiaran dan penyebaran video berkenaan bukan sahaja mengelirukan orang ramai malah boleh menjejaskan keyakinan terhadap proses undang-undang yang sedang berjalan.
Sehubungan itu, Rosmah memaklumkan beliau telah membuat laporan polis hari ini bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat individu, pihak berkaitan dan akaun media sosial yang terlibat dalam menghasilkan serta menyebarkan kandungan berkenaan.
Katanya, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.
Pada masa sama, beliau menggesa pengendali platform media sosial mengambil tindakan segera untuk memadam dan menghalang penyebaran lanjut kandungan yang didakwanya palsu serta berunsur fitnah.
Rosmah turut menegaskan beliau berhak mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman sivil dan membuat laporan bagi membolehkan tindakan jenayah diambil terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan, berkongsi atau terus menyebarkan dakwaan tersebut.
Beliau turut menyeru orang ramai dan pihak media supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang.
Semalam, seorang ahli perniagaan terkenal Datuk Seri Daing A Malek Daing Rahaman menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan pembelian sebuah hartanah mewah di New Jersey, Amerika Syarikat (AS).
Beliau merujuk dakwaan yang tular bersama satu video di platform media sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter), yang kemudian disebarkan semula di internet oleh seorang pengguna bernama Mark Lansvin menerusi akaun @lansvin.
Menurut dakwaan itu, Rosmah Mansor, isteri Datuk Seri Najib Razak, didakwa mengarahkan serta membiayai pembelian sebuah rumah agam bernilai AS$13 juta di Margos Way pada Julai 2025, kawasan yang digelar ‘Billionaire’s Row’.
Laporan itu turut mendakwa pembeli berdaftar ialah menantu mereka, Daniyar Kessikbayev.
Dakwaan itu turut menyebut bahawa pada Mei 2026, melalui deklarasi amanah sulit, hartanah tersebut dipindahkan kepada Daran Investments Capital Inc, sebuah syarikat luar pesisir yang didakwa tidak telus, dengan Daing A Malek dikaitkan sebagai pemegang sahamnya. -MalaysiaGazette
















