HULU SELANGOR – Tiga buah bas pekerja kilang mengalami kerosakan teruk selepas terbabit dalam kebakaran di sebuah kawasan kilang di Man Lorry Serendah, Taman Melati Desa Kiambang, Serendah, di sini, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.42 pagi.
Menurut beliau, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa yang terletak kira-kira lapan kilometer dari lokasi kejadian tiba di tempat kejadian pada jam 2.53 pagi untuk menjalankan operasi pemadaman.
“Siasatan awal mendapati kebakaran melibatkan tiga buah bas pekerja kilang yang diletakkan dalam kawasan premis kilang.
“Jenis ketiga-tiga bas berkenaan tidak dapat dikenal pasti,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sebuah bas mengalami kemusnahan kira-kira 90 peratus, manakala dua lagi bas terbakar hampir keseluruhannya dengan tahap kemusnahan dianggarkan 95 peratus.
“Bagaimanapun, nombor pendaftaran bagi dua bas tersebut tidak dapat dikenal pasti berikutan tahap kebakaran yang tinggi.
“Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.08 pagi.
“Ketika ini anggota bomba masih menjalankan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.
Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang mangsa atau kecederaan dan tidak merebak ke mana-mana struktur bangunan berhampiran.
Operasi melibatkan seramai 10 anggota bomba daripada BBP Kuala Kubu Bharu dan BBP Bukit Sentosa dengan bantuan dua jentera iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT).
Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I (PBK I), Mohd Yusof Md Ali.
“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















