KUALA LUMPUR – Pas mahu penjelasan diberikan susulan laporan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar direhatkan daripada tugas sebagai pengulas sukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi siaran pertandingan Piala Dunia 2026.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu mahu mengetahui sama ada tindakan berkenaan mempunyai kaitan dengan penyertaan Azlan ke dalam Pas yang diumumkan dalam satu program di Seremban pada 13 Jun lalu.
Menurut beliau, Pas berharap semua pihak berkaitan termasuk Kerajaan Malaysia dan agensi di bawahnya menghormati hak asasi setiap warganegara untuk berpersatuan serta terlibat dalam politik sebagaimana dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Jika benar tindakan tersebut mempunyai kaitan dengan penyertaan beliau dalam PAS, maka ia merupakan satu perkara yang amat mendukacitakan dan bertentangan dengan prinsip kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan.
“Setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk memilih dan menyertai mana-mana pertubuhan atau parti politik tanpa berdepan diskriminasi atau tindakan yang menjejaskan kerjaya mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, penafian hak sedemikian bukan sahaja merugikan individu berkenaan, malah turut memberi kesan kepada industri penyiaran sukan negara memandangkan pengalaman luas yang dimiliki Azlan sebagai pengulas dan penganalisis bola sepak.
Beliau berkata, Azlan telah mengulas dan menganalisis lebih 10 edisi Piala Dunia sepanjang karier penyiarannya serta mempunyai kredibiliti tinggi dalam bidang sukan.
“Azlan Johar bukan sahaja dikenali sebagai bekas penyerang prolifik pasukan negeri dan kebangsaan pada era 1980-an, malah beliau turut memiliki lesen kejurulatihan bola sepak bertaraf tinggi dan kini berkhidmat sebagai Pengerusi Yayasan Lagenda,” katanya.
Sehubungan itu, Pas yang menyifatkan dirinya sebagai parti progresif dan demokratik menggesa kerajaan memastikan amalan yang boleh menafikan hak rakyat berdasarkan pegangan politik mereka tidak berlaku serta tidak diteruskan pada masa hadapan.
Menurut Takiyuddin, langkah itu penting bagi memastikan prinsip reformasi hak asasi rakyat dan pengukuhan institusi negara yang sering dilaungkan oleh parti-parti dalam kerajaan diterjemahkan melalui tindakan yang konsisten. – MalaysiaGazette
















