Rosmawati menunjukkan penyertaannya sebagai juri kejohanan urut peringkat antarabangsa baru-baru iniĀ 

JOHOR BAHRU – Seorang bekas tukang urut ‘rumah ke rumah’ berjaya mengharumkan nama negara apabila terpilih sebagai juri tunggal beragama Islam di kejohanan urut peringkat antarabangsa di Jepun baru-baru.

Rosmawati Ishak, 43, berkata, ia menjadi pengiktirafan tidak ternilai baginya selepas pernah mewakili negara dan berjaya muncul sebagai peserta keempat terbaik daripada 156 peserta di European Championship Massage (Kejohanan Urut Eropah) pada 2024.

Berkongsi berkaitan pengalamannya menjadi juri di Japan Massage Championship pada 2 dan 3 Jun lalu, Rosmawati berkata, kejohanan itu disertai kira-kira 500 peserta dari seluruh dunia.

Menurutnya, bergelar juri tunggal beragama Islam, dia berdepan beberapa cabaran termasuk daripada segi makanan.

“Biarpun saya merupakan juri tunggal beragama Islam, mereka amat menghormati garis panduan dikongsi saya termasuk merangkumi aspek etika, teknik dan prosedur keselamatan.

“Saya turut diberi peluang untuk melakukan demontrasi kaedah urutan badan tradisional Melayu.

Rosmawati bersama-sama tukang urut lain yang menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa

“Kebanyakan mereka tertarik melihat keunikan kaedah urutan tradisional Melayu yang berbeza iaitu penuh dengan tertib dan kesopanan serta membantu kesejahteraan hidup.

“Pada pandangan saya banyak amalan masyarakat kita seperti urutan tradisional, mandian herba, lulur atau berbengkung diamalkan sejak turun temurun untuk penjagaan kesihatan dan kecantikan mempunyai potensi besar untuk dipromosi serta dipasarkan sebagai produk pelancongan negara,” katanya.

Rosmawati juga bersyukur kerana turut terpilih sebagai bakal juri di kejohanan urut di Amerika Syarikat pada Julai ini dan di Azerbaijan pada September ini.

Tambahan pula dia bercadang untuk menganjurkan suatu kejohanan urut bertaraf antarabangsa di Langkawi pada Ogos ini.

“Kerjaya sebagai tukang urut sebenarnya menjanjikan masa depan cerah selain ia boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan bagi kebanyakan kumpulan suri rumah dan ibu tunggal.

“Misalnya saya hanya bermula dengan menawarkan khidmat urutan dari rumah ke rumah pada 18 tahun lalu namun kini menjadi jurulatih dalam bidang berkenaan serta berjaya melatih 4,000 individu,” ujanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu memberitahu mula belajar urutan badan selepas arwah ibunya jatuh sakit dan dia perlu diurut hampir setiap hari.

“Tidak sangka ia bertukar kerjaya sepenuh masa serta membuka ruang kepada saya untuk menerokai pelbagai peluang di peringkat antarabangsa termasuk sebagai juri.

“Saya ingin mengubah tanggapan ramai bahawa bidang urut hanya diceburi golongan berusia dan diharap penganjuran kejohanan ini mampu membuka minda ramai selain memupuk minat golongan muda bagi menceburi bidang urut,” katanya yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast