KUALA LUMPUR – Penglibatan etnik Rohingya dalam kegiatan jenayah di negara ini masih rendah iaitu sebanyak 89 individu direkodkan dalam pelbagai kesalahan sejak 2024 hingga kini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, angka itu hanya mewakili 0.02 peratus daripada keseluruhan kes jenayah yang dicatatkan bagi tempoh itu.
“Bagi tahun 2024 sehingga tahun ini, cuma melibatkan sebilangan yang kecil iaitu lebih kurang 89 orang.
“Saya dimaklumkan oleh Suruhanya Tinggi Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bahawa mereka telah mendaftar kira-kira 215,000 pelarian Rohingya.
“Jadi saya khuatir jika ada pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk menyatakan sesuatu yang negatif, namun ada juga perkara yang positif mungkin kita boleh kongsi bersama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan Satu Matlamat, di sini hari ini.
Tambah Mohd Khalid, pihak berkuasa turut mempunyai data yang dikemas kini dengan bantuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tujuan pendaftaran, sekali gus memudahkan lokasi dan pekerjaan mereka dikenal pasti.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan jumlah penghantaran pelarian atau individu berstatus ke negara ketiga merekodkan 7,000 hingga 8,000 setahun sebelum ini.
Bagaimanapun, Mohd Khalid berkata, proses penempatan semula itu kini terhad dan terpaksa dihentikan kerana terdapat pelbagai kekangan sejak kebelakangan ini.
“Malaysia sebelum ini mempunyai beberapa perjanjian antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama negara-negara tertentu menguruskan penempatan pelarian.
“Bagaimanapun, kebelakangan ini proses penempatan semula ke negara ketiga dilihat semakin perlahan akibat pelbagai cabaran dan kekangan yang timbul.
“Keadaan itu menyebabkan pergerakan pelarian Rohingya ke negara-negara penerima terhenti atau berjalan dengan sangat perlahan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat memahami kedudukan sebenar negara dan mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam.
“Pihak berkuasa sentiasa mengambil tindakan kepada mereka yang bersalah bukan sahaja daripada Myanmar atau Rohingya tetapi juga warga asing yang berada di negara ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















