KUALA LUMPUR – Seorang anggota penjara berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan susulan insiden rusuhan di Penjara Taiping, Perak pada 17 Januari 2025.
Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan berkata, pada masa sama, seramai lima kakitangan penjara berdepan dengan prosoding tindakan tatatertib yang dilaksakan di bawah jabatan itu.
“Kita telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh.
“Tindakan ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Penjara Malaysia dalam menegakkan prinsip akauntabiliti, integriti dan kedaulatan undang-undang.
“Jabatan tidak akan melindungi atau berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang atau peraturan perkhidmatan tanpa mengira pangkat atau jawatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah jabatan itu, pihaknya mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang dalam perkhidmatan.
Ujarnya lagi, setiap aduan atau dakwaan yang diterima akan disiasat dan diteliti sewajarnya manakala tindakan yang bersesuaian akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan yang didapati melakukan kesalahan.
“Jabatan juga menghormati sepenuhnya proses siasatan dan prosiding perundangan yang sedang berjalan serta akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa tanpa menjejaskan proses tersebut
“Turut ditegaskan bahawa pengurusan dan layanan terhadap penghuni penjara sentiasa dilaksanakan berdasarkan kerangka perundangan yang berkuat kuasa termasuk Akta Penjara 1995 [Akta 537] dan Peraturan-Peraturan Penjara 2000.
“Komitmen ini menjadi asas kepada pengoperasian institusi penjara di seluruh negara dalam memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan pengurusan prospek dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berperikemanusiaan,” jelasnya.
Terdahulu, Panel Inkuiri Awam Suhakam dalam keputusan akhir inkuiri berhubung rusuhan di Penjara Taiping pada 17 Jan 2025 yang menyebabkan kematian seorang tahanan warga emas mencadangkan bangunan itu dijadikan muzium kerana tidak lagi sesuai digunakan sebagai penjara.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan itu, Jabatan Penjara Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited meneruskan agenda pemodenan infrastruktur penjara.
Katanya, ia termasuk perancangan pembinaan kompleks penjara baharu bagi menggantikan institusi yang telah uzur dan tidak lagi memenuhi keperluan semasa.
“Penjara Taiping yang kini berusia 146 tahun dan berstatus Bangunan Warisan Kebangsaan merupakan antara institusi yang telah lama dikenal pasti memerlukan penggantian.
“Pembinaan fasiliti baharu yang lebih moden, selamat dan kondusif adalah penting bagi meningkatkan kecekapan pengurusan institusi, memperkukuh aspek keselamatan serta memelihara kebajikan prospek dan pegawai penjara.
Jabatan Penjara Malaysia berkata, pihaknya akan terus melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa dan kekal komited memperkukuh keyakinan awam terhadap sistem koreksional negara melalui tadbir urus yang telus, profesional dan berintegriti. – MalaysiaGazette
















