KLUANG – Laporan bertajuk “Sedihnya, nak jumpa MB tapi kena halau” yang disiarkan oleh sebuah portal berita dan tular di media sosial berhubung insiden ketika program Jom Lepak Orang Muda Johor di Kluang baru-baru ini didakwa tidak tepat serta tidak menggambarkan kejadian sebenar.
Wan Mustaffa Kamal, 49, berkata, kejadian yang dimuat naik dalam akaun TikTok miliknya itu menceritakan tentang kegagalan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membawa seorang remaja, Siti Nur Aisyah dari Sekolah Tinggi Kluang (STK) bertemu dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Jelasnya, kejadian itu tiada kena-mengena dengan Onn Hafiz dan sebenarnya tidak tahu tentang hasrat Aisyah untuk bertemu bagi mendapatkan autograf di atas surat tawaran menyertai Asia Youth International Model United Nation yang ke 22 di Kuala Lumpur pada 21 hingga 24 Ogos nanti.
Katanya, sebelum kejadian itu, pihaknya sudah berbincang dengan ADUN berkenaan untuk menceritakan tujuan Siti Nur Aisyah bertemu Onn Hafiz bagi mendapatkan autograf.
“ADUN berkenaan pada awalnya bersetuju untuk membantu mengatur pertemuan itu sebaik selesai acara.
“Bagaimana pun, apabila Onn Hafiz sampai dilokasi program dan tidak semena-mena Aisyah dihalang oleh beliau untuk bertemu dengan Menteri Besar seperti dibincangkan sedangkan pada awalnya tiada halangan berbuat demikian.
“Keadaan ini membuatkan remaja berkenaan merasa sedih dan kecewa kerana gagal mendapatkan autograf daripada MB sebagai kenang-kenangannya apatah lagi apabila terpilih untuk mewakili negara ke acara antarabangsa itu,” katanya ketika ditemui hari ini.
Justeru, Wan Mustaffa menafikan sekeras-kerasnya bahawa kejadian berkenaan melibatkan Menteri Besar Johor dan laporan yang mengatakan Onn Hafiz sombong adalah tidak betul kerana itu berlaku diluar pengetahuan beliau.
Ujarnya, sepatutnya mereka berbangga kerana adanya seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berasal dari daerah ini terpilih mengharumkan negara dalam majlis dunia.
“Remaja berkenaan hanya datang untuk mendapatkan autograf dan tidak lebih daripada itu, kenapa harus dihalang sedangkan program berkenaan adalah untuk anak muda seperti Aisyah,” katanya.
Terdahulu tular laporan tersebut yang dimuat naik dalam satu portal berita milik sebuah parti mendakwa remaja berkenaan dihalau semasa mahu berjumpa Menteri Besar Johor.
Selain itu terdapat kapsyen mendakwa lebih mudah berjumpa PM daripada MB Johor.- MalaysiaGazette

















Mcm2 korang fitnah untuk dapatkan undi yer..taktik fitnah ala DAP ni dah basi laaa