Anwar dalam Majlis Hi-Tea bersama Nelayan, Petani dan Penduduk di Pantai Leka, Parit Jawa, Muar hari ini.

MUAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan negara perlu dirasai secara menyeluruh melibatkan semua kelas dan peringkat.

Jelas beliau, ia termasuk golongan nelayan, pekebun kecil, pesawah dan masyarakat berpendapatan rendah yang bukan tertumpu golongan tertentu sahaja.

“Sekali lagi saya tekankan, pembangunan ini mesti dinikmati merata. Pembangunan ini mesti menjamin kemudahan kepada rakyat terutama yang di peringkat bawah.

“Siapa yang nak wakil? Siapa nak suarakan pandangan yang di bawah ini? Sebab itu kita kena turun. Saya selalu beritahu kawan-kawan saya dalam Jemaah Menteri, kalangan pimpinan… Dr. Zaliha ada? Dr. Zaliha mana (Ahli Parlimen Sekijang)?

“Ya. Mesti pastikan kita dapat turun, dengar sendiri dan cuba selesaikan. Saya tidak percaya Malaysia ini sangat daif sampai tak boleh bantu rakyat, saya tak percaya kerana urusan yang kena baik,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap dalam Majlis Hi-Tea bersama Nelayan, Petani dan Penduduk di Pantai Leka, Parit Jawa di sini hari ini.

Katanya, menjadi pemimpin termasuk ketua kampung perlu tegas dan berani menyuarakan masalah di peringkat bawah untuk diselesaikan.

“Nak jadi pemimpin, mesti berani! Kalau pemimpin duduk ya, ya, ya, itu bukan pemimpin. Ya. Saya tengok tok penghulu pun kadang berani lagi. Ketua kampung pun lebih berani lagi.

“Nak jadi pemimpin ni, mesti suarakan dengan berani masalah rakyat. Jangan hanya jawatan besar, orang panggil pun yang amat berhormat Perdana Menteri… tetapi ya, ya, ya… tak boleh!

“Ada masa ya, ada masa tidak. Kalau nelayan susah, susah. Termasuk di Muar ini. Kalau perlu datang, datang. Kalau perlu suarakan, suarakan. Ini barulah (pemimpin),” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast