SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiat operasi mengesan dan menahan pelarian Rohingya yang terlibat dalam kegiatan jenayah di negara ini bagi menjamin keselamatan awam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Sazeli Kahar berkata, jumlah sebenar pelarian Rohingya di negeri itu sukar dipastikan kerana mereka tinggal secara berselerak di pelbagai lokasi dan sebahagiannya tidak berdaftar dengan pihak berkuasa.
Beliau mengakui kehadiran pelarian itu yang tidak dapat disahkan menimbulkan kebimbangan, khususnya apabila dikaitkan dengan kesalahan jenayah.
“PDRM sentiasa menjalankan tindakan penguatkuasaan secara berterusan terhadap pendatang dan pelarian yang terlibat dalam kegiatan jenayah, terutama jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.
“Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 pula, sebanyak 52 kes jenayah melibatkan warga Rohingya direkodkan dengan 73 individu ditahan.
“Manakala sepanjang tahun lalu, sebanyak 140 kes membabitkan warga Rohingya telah direkodkan dengan seramai 227 individu berjaya ditahan,” katanya kepada pemberita ketika mengulas isu penempatan komuniti Rohingya di Selangor dan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan pihak polis.
Katanya, PDRM memandang serius isu tersebut memandangkan terdapat etnik Rohingya yang berada di negara ini tanpa berdaftar, selain lokasi penempatan dan identiti mereka sukar dikenal pasti.
Keadaan ini menimbulkan cabaran kepada pihak berkuasa dari segi pemantauan dan keselamatan, ujar beliau.
“Justeru, kerjasama rapat terus dijalinkan dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa tempatan bagi melaksanakan operasi bersepadu untuk mengesan serta mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak enam operasi bersepadu telah dilaksanakan sepanjang tahun lalu di seluruh negeri Selangor melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa.
Dalam masa sama, Shazeli menyarankan pihak berwajib mengambil tindakan bagi penempatan yang haram atau penempatan semula di satu kawasan yang senang dipantau. – MalaysiaGazette
















