KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket perjudian dalam talian dan mini kasino dengan menjadikan sebuah unit residensi mewah di Bukit Jalil di sini terbongkar dalam serbuan polis pada Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superitenden Lim Chun How berkata, serbuan dilakukan menerusi Ops Noda/ Dadu oleh Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
“Kita telah menahan 15 individu melibatkan 12 lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Vietnam yang kesemuanya berusia antara 21 hingga 44 tahun.
“Polis juga merampas pelbagai peralatan perjudian iaitu meja kasino, ratusan cip judi, daun terup, wang tunai berjumlah kira-kira RM4,000.
“Selain itu, turut dirampas set komputer riba, sistem audio karaoke dan empat paket plastik lut sinar berisi serbuk putih disyaki jenis kokain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Chun How, semakan lanjut mendapati salah seorang suspek merupakan individu dikehendaki bersabit kes dadah di Pulau Tikus, Pulau Pinang.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan) 1992, Seksyen 4(1) (c) AKta Rumah Judi Terbuka 1953, Seskyen 3(A) (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – MalaysiaGazette
















