Gambar swafoto terakhir empat beranak yang maut ketika makan Nasi Arab di Kuala Lumpur pada tengah hari semalam seblum terbabit dalam insiden kemalangan kereta yang dinaiki mereka dihempap sebuah treler membawa muatan habuk kayu yang terbalik di KM43, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala ke Karak, Bentong

TEMERLOH – Swafoto bersama keluarga menjadi kenangan terakhir sebelum empat sekeluarga terkorban apabila kereta mereka dihempap treler membawa muatan kayu di KM43, Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) 4.30 petang, semalam.

Menurut biras mangsa, Mazura Bakar, 50, gambar yang diambil oleh anak bongsu pasangan A Halim Hasoon dan Rozita Buang sempat dihantar kepada beliau, kira-kira dua jam sebelum tragedi itu berlaku.

Katanya, mangsa sekeluarga bertolak dari Mempaga ke Kuala Lumpur dan disertai anak bongsu mereka menaiki kenderaan berasingan ke sana.

Bagaimanapun mereka tidak dimaklumkan tujuan empat beranak itu ke Kuala Lumpur.

“Meraka sekeluarga makan tengah hari nasi Arab di Kuala Lumpur dan Halim sempat menghantar gambar swafoto mereka makan tengah hari di sebuah restoran.

“Kakak sulung mesej adik bongsunya mengajak adiknya turut serta makan tengah hari bersama dan adiknya itu menyusul dengan menaiki motosikal sendirian.

“Selepas makan tengah hari, Nurbahyah dikatakan sempat berjumpa suaminya, mereka berdua tinggal berasingan kerana perhubungan jarak jauh (PJJ), isteri tinggal bersama ibu ayah dan suami bekerja di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.

Ahli keluarga A.Halim berkumpul di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) bagi menunggu proses bedah siasat mangsa.

Tambah Mazura beliau sentiasa mengikuti perkembangan birasnya dan berhubung bagi berkongsi keadaan keluarga masing-masing.

Namun begitu, hantaran media sosial mangsa sering mengundang tanda tanya apabila arwah sentiasa berkongsi kandungan yang berkisar mengenai kematian.

Dalam pada itu katanya arwah Rozita sempat berkongsi kegembiraan dengan memberi gambaran yang akan menimang cucu tidak lama lagi.

Bagaimanapun katanya, mereka sekeluarga tidak menunjukkan perubahan apa-apa apabila mereka bertemu kali terakhir semasa sambutan Syawal lalu.

Beliau hanya mengetahui tragedi menimpa setelah dimaklumkan oleh anak saudaranya yang memberitahu nahas tersebut tular di Tik Tok.

“Semasa sedang mengaji saya dihubungi anak saudara memaklumkan kejadian tersebut.

“Kemudian saya menghubungi pihak Hospital Bentong bagi mengesahkan kejadian,” katanya.

Semalam, empat termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut selepas kereta dinaiki dihempap treler membawa muatan habuk kayu yang terbalik di KM43, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala ke Karak, Bentong.

Empat mangsa yang maut dikenal pasti sebagai A Halim Hasoon, 55, isterinya, Rozita Buang, 58 , anak perempuan mereka, Norbahyah A Halim, 26, serta cucu perempuan mereka, Nayla Afya Aizat Faizal yang berusia setahun lima bulan.

Semua mangsa  tersepit dalam kereta berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak kesihatan manakala pemandu treler berbangsa India hanya mengalami kecederaan.

Sementara itu, pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan empat nyawa di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) semalam, didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki berusia 40 tahun itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk ujian saringan air kencing, sejurus selesai rawatan di hospital. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast