KULAI – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bertemu secara bersemuka selepas beberapa kali berbalas kenyataan menerusi Facebook masing-masing sebelum ini.
Pertemuan tersebut berlaku dalam Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai di sini, hari ini.
Anthony Loke tiba pada majlis itu sekitar pukul 12.45 tengah hari disusuli Onn Hafiz lima minit kemudian.
Turut kelihatan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan beberapa pemimpin DAP.
Kedua-dua pemimpin politik itu dilihat saling bersalaman dan berbual mesra sebelum masing-masing akan berucap pada majlis berkenaan.
Memulakan ucapan, Onn Hafiz mengucapkan Selamat Datang kepada Anthony Loke dan pasukannya ke negeri Johor.
Onn Hafiz berkata, beliau meminda dan menyusun semula jadual sebaik menerima notis pendek berhubung jemputan menghadiri majlis hari ini.
“Apa pun keadaan, kita faham dan dalam suasana luar biasa, kita harus kekal profesioanl dan bertanggungjawab untuk melaksankan tugas sebagai kerajaan demi kesejahteraan rakyat khususnya di Johor,” katanya.
‘Perbalahan’ di antara mereka dipercayai bermula apabila Onn Hafiz didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa Barisan Nasional (BN) Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya parti gabungan itu diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Kenyataan itu dibuat Onn Hafiz ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Iskandar Puteri di sini, 7 Jun lalu.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Negeri Johor dilaporkan menegaskan dia lebih rela melepaskan jawatan menteri besar daripada bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan negeri.
Pada hari yang sama, Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP dilaporkan menyindir Onn Hafiz dengan menyatakan bahawa pendirian Menteri Besar Johor itu bercanggah dengan realiti kerjasama BN dengan DAP pada peringkat Persekutuan apabila Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hampir tiap-tiap minggu duduk di sebelahnya.
Susulan itu, pada Sabtu lalu, Anthony Loke menjemput Onn Hafiz untuk menaiki KTM Komuter baharu bersama-sama dengannya pada majlis peluncurannya, hari ini.
Onn Hafiz kemudian membuat kenyataan terharu apabila akhirnya ‘dijemput’ Anthony Loke, namun mendakwa belum menerima sebarang surat rasmi walaupun lawatan kerja hari ini sudah dirancang sejak seminggu yang lalu.
Beliau mendakwa jemputan diterima selepas beberapa lawatan Anthony Loke membabitkan projek di negeri ini tidak pernah membabitkan dirinya atau Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab.- MalaysiaGazette
















