KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai pemimpin terbaik untuk masyarakat Cina kerana reformasi yang dilaksanakan kerajaan pimpinannya tidak tertumpu kepada satu kaum semata-mata, sebaliknya memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.
Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chean berkata, meskipun baharu memasuki penggal pertama pentadbiran, Anwar telah memperkenalkan beberapa perubahan dalam sektor pendidikan yang memberi manfaat kepada pelajar dan sekolah Cina tanpa menjejaskan hak kaum lain.
Menurut beliau, reformasi pendidikan yang diperkenalkan Kerajaan Madani tidak seharusnya dilihat daripada sudut pendidikan untuk orang Cina, bukan Cina atau bumiputera semata-mata kerana matlamat utamanya adalah membangunkan bakat serta masa depan negara.
Beliau berkata, antara langkah penting yang diperkenalkan ialah jaminan kemasukan ke program matrikulasi kepada pelajar yang memperoleh keputusan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Katanya, masyarakat Cina sebelum ini mempunyai persepsi tertentu terhadap dasar kerajaan khususnya dalam bidang pendidikan yang dianggap tidak memberikan layanan sama rata kepada kaum minoriti.
“Justeru, Perdana Menteri cuba menangani situasi ini kerana jika tiada apa-apa dilakukan, ada pihak akan menganggap diri mereka tertindas sementara pihak yang lain akan melihat sentimen curiga yang wujud sebagai keengganan untuk menerima dasar negara.
“Ia sekali gus merencatkan usaha perpaduan nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ker Chean berkata, Anwar berusaha membina semula keyakinan masyarakat Cina terhadap kerajaan dengan menunjukkan bahawa pentadbiran negara tidak akan meminggirkan mana-mana kaum dalam pelaksanaan dasar awam.
“Kita mesti membebaskan diri daripada pemikiran kalah menang (zero-sum game). Semua kaum harus saling memahami keperluan masing-masing, dan mengimbangi kepentingan masing-masing untuk kebaikan semua,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata pendekatan Anwar yang tidak memainkan sentimen perkauman ketika berucap kepada mana-mana kelompok masyarakat membezakan Perdana Menteri itu daripada sebahagian pemimpin politik lain, sekali gus menampilkan dirinya sebagai pemimpin untuk semua rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette
















