SHAH ALAM – Bekas anggota Pertubuhan Ikram Malaysia Hulu Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM98,270,315.20.
Fakhrudin Abd Karim, 57, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan yang mengambil masa selama dua jam dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ke-149, Fakhrudin selaku pegawai badan awam iaitu anggota Ikram yang diberi kuasa untuk menandatangani akaun Maybank Islamic Cawangan Bukit Bintang milik NGO terbabit telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM81,950,000 bagi sebuah syarikat pengurusan yang juga sekutu tertuduh menerusi 149 transaksi..
Manakala bagi pertuduhan 150 hingga 158, dia didakwa atas pertuduhan yang sama dengan mengarahkan pemindahan dana milik NGO tersebut ke dalam dua akaun bank miliknya sendiri berjumlah RM16,320,315.20 menerusi sembilan transaksi.
Semua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat pertubuhan tersebut Cawangan Hulu Selangor, Pusat Perniagaan Adenium, Bukit Beruntung, Rawang antara 6 Januari 2021 hingga 6 Ogos 2025.
Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, lelaki itu berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Kemudian hakim menetapkan ikat jamin sebanyak RM500,000 kepada tertuduh.
Lelaki itu juga diperintah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak boleh mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Sementara itu, sebutan kes ditetapkan pada 7 Ogos 2026.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib yang mengendalikan kes tersebut mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan RM1 juta kepada tertuduh.
Walaubagaimanapun peguamnya, Datuk N. Sivananthan merayu jumlah jaminan dikurangkan memandangkan semua akaun peribadi termasuk akaun milik syarikatnya serta kereta dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Media sebelum ini melaporkan dua individu termasuk Timbalan Yang Dipertua sebuah NGO direman keseluruhan sembilan hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam berjumlah RM230 juta.
Selain 18 kenderaan mewah, SPRM menyita rumah dan hartanah kira-kira RM11 juta serta pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama.
Menerusi Ops Sutera itu, sebanyak 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta turut dibekukan. -MalaysiaGazette
















