KUALA LUMPUR – Risiko microsleep dalam kalangan penghantar makanan dan barangan yang bekerja dalam tempoh panjang menjadi antara faktor penyediaan ruang rehat khas menerusi D’Tebing Recharge Rider yang diperkenalkan sebagai Hab P-Hailing Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kemudahan itu penting bagi memastikan komuniti p-hailing mempunyai tempat yang selesa dan selamat untuk berehat sementara menunggu pesanan, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan akibat keletihan melampau.

Menurutnya, ada penghantar yang bekerja sehingga 12 jam sehari dan terdedah kepada risiko microsleep ketika berada di jalan raya.
“Di sini terdapat kemudahan untuk mengecas telefon bimbit, tempat berehat serta ruang berasingan untuk wanita dan lelaki.
“Tempat ini penting bukan sahaja untuk keselesaan tetapi juga keselamatan mereka kerana ada yang bekerja sehingga 12 jam sehari. Kita dimaklumkan mengenai risiko microsleep yang boleh menyebabkan kemalangan jika mereka terlalu letih,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian D’Tebing Recharge Rider di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak mahu komuniti penghantar terpaksa menunggu pesanan di tepi jalan dan akan terus menghidupkan semula ruang awam di ibu negara supaya dapat dimanfaatkan golongan berkenaan.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, hab yang beroperasi 24 jam itu menyediakan pelbagai kemudahan termasuk ruang rehat berbumbung, stesen pengecas telefon bimbit, surau, tandas awam dan ruang menunggu pesanan yang lebih kondusif.

Menurutnya, komuniti penghantar merupakan antara penggerak penting ekonomi bandar dan wajar menikmati kemudahan yang selesa serta bersesuaian dengan keperluan mereka.
“D’Tebing Recharge Rider bukan sekadar ruang rehat, malah simbol pengiktirafan terhadap sumbangan komuniti rider yang memainkan peranan penting dalam menyokong kehidupan harian warga kota,” katanya.

Tambah Hannah, kemudahan di hab berkenaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa termasuk menawarkan pilihan makanan pada harga berpatutan menerusi menu Rahmah. – MalaysiaGazette
















