Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tribunal Bagi Antibuli di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Individu yang gagal mematuhi keputusan Tribunal bagi Antibuli dalam tempoh 30 hari boleh dikenakan tindakan jenayah termasuk hukuman penjara sehingga dua tahun mengikut Seksyen 44 Akta Antibuli.

Pengerusi Tribunal bagi Antibuli, Nurul Husna Awang berkata, award atau keputusan yang dikeluarkan tribunal adalah muktamad dan mengikat selepas didaftarkan di mahkamah sebagai sebahagian daripada penghakiman sivil.

Menurut beliau, pelaku yang enggan mematuhi award tribunal seperti gagal membayar pampasan yang diperintahkan boleh dikenakan tindakan lanjut di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

“Award itu akan didaftarkan di mahkamah, yang bermaksud ia menjadi sebahagian daripada penghakiman sivil.

“Jika berlaku ketidakpatuhan, terdapat peruntukan di bawah Seksyen 44 yang mengenakan penalti termasuk hukuman penjara,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Tribunal bagi  Antibuli, hari ini.

Tribunal bagi Anti Buli yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mula beroperasi selepas pelantikan pengerusi dan timbalan pengerusi tribunal bagi memperkukuh mekanisme pengendalian kes buli di negara ini.

Tribunal berkenaan akan dirasmikan pada 16 Jun depan, termasuk pelaksanaan mahkamah fizikal dan platform secara dalam talian.

Dalam pada itu, Nurul Husna berkata, pengadu perlu memaklumkan kepada pihak tribunal sekiranya pelaku gagal melaksanakan perintah yang diputuskan.

“Pengadu perlu memaklumkan kepada kami bahawa pelaku tidak membayar atau tidak mematuhi perintah.

“Selepas kami membantu mendaftarkan award tersebut di mahkamah sivil, peranan tribunal pada asasnya selesai.

“Terdapat dua saluran yang boleh diambil selepas itu iaitu penguatkuasaan sivil melalui mahkamah atau tindakan jenayah kerana ingkar perintah,” katanya.

Menurut Nurul Husna, bagi melaksanakan hukuman penjara, pengadu perlu terlebih dahulu membuat laporan polis sebelum tindakan lanjut diambil oleh Jabatan Peguam Negara.

Di bawah Seksyen 44 Akta Antibuli, individu yang disabitkan kesalahan kerana gagal mematuhi award tribunal boleh didenda atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah beliau, bagi kes yang melibatkan pampasan atau ganti rugi, jumlah denda yang dikenakan boleh mencecah dua kali ganda nilai pampasan yang diperintahkan tribunal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast