Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) dan Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin (kiri) pada Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU tergempar di Ibu Pejabat BERSATU di Yayasan Selangor Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 JUN 2026

PETALING JAYA – Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini memutuskan untuk terus kekal dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai parti pengasas, Bersatu harus kekal berada dalam PN.

“Bersatu akan terus kekal dalam PN sebagai mana yang diputuskan dalam mesyuarat malam ini,” latanya dalam sidang media selepas mesyuarat MPT Bersatu di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Bersatu tidak boleh disingkirkan secara unilateral dan bukan berdasarkan kepada keputusan satu parti sahaja.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata parti itu akan menggunakan logo PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan.

Muhyiddin beralasan segala persiapan untuk menghadapi dua PRN tersebut telah digerakkan Bersatu sudah lama.

“Kita sudah melawat hampir semua kawasan yang kita kenal pasti untuk tandingi lebih sebulan yang lalu. Kalau parti lain nak bertanding itu keputusan mereka, kita telah buat keputusan berapa kerusi yang kita nak tanding di Johor dan Negeri Sembilan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Bersatu sudah mengenali calon-calon yang berpotensi untuk bertanding dan akan mengumumkan senarai itu kelak.

Ditanya sekiranya ada pertembungan dengan Pas pada dua PRN tersebut, Muhyiddin berkata, pihaknya tidak ada masalah untuk bertembung dengan calon daripada Pas.

“Bersatu okey kalau berlaku pertindihan kerusi di PRN Johor dan Negeri Sembilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast