Lima ditahan bantu siasatan kes jual beli MC palsu di Pekan

PEKAN – Seorang Jururawat berusia 55 tahun merupakan antara lima individu yang direman bagi membantu siasatan berkaitan kes penjualan dan pembelian sijil cuti sakit (MC) palsu di sini, hari ini.

Perintah reman dikeluarkan terhadap kesemua suspek berusia 30 hingga 55 tahun itu oleh Majistret Melody Woon Sze Mun selepas permohonan dibuat pihak polis di Mahkamah Majistret Pekan, di sini hari ini.

Ia bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Keseksaan dan Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Empat daripada suspek termasuk Jururawat tersebut dikenakan perintah reman selama empat hari, manakala seorang lagi suspek yang dipercayai membeli MC palsu terbabit dikenakan reman selama tiga hari.

Semalam, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin memaklumkan pihaknya telah menahan kesemua suspek di sekitar Kampung Marhum dan Kuala Pahang, di sini bermula jam 3 petang sehingga jam 10 malam.

Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai dilakukan secara terancang oleh beberapa individu yang bertindak sebagai orang tengah mencari pelanggan dan mengurus penjualan MC, manakala seorang suspek wanita merupakan Jururawat disyaki berperanan membekal MC yang disyaki tidak sah.

Jelasnya, MC tersebut dipercayai dijual pada harga sekitar RM50 hingga RM200. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast