KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melancarkan Trace and Recovery Operation (TRO) 4.0 (Penyata Tanpa Bayaran) Siri 1/2026 yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara bermula semalam hingga 28 Jun ini.
Menurut JKDM, TRO 4.0 merupakan antara inisiatif mempertingkatkan kutipan hasil negara melalui pengukuhan tahap pematuhan pendaftar cukai terhadap perundangan yang ditadbir jabatan itu.
Operasi tersebut menyasarkan 1,425 pendaftar Cukai Jualan, Cukai Perkhidmatan dan Cukai Pelancongan yang telah mengemukakan penyata cukai tanpa bayaran.
“Sebagai makluman, pelaksanaan TRO 3.0 yang lepas telah berjaya mewujudkan positive compliance dalam kalangan pemain industri melalui tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas termasuk tindakan pendakwaan sekiranya gagal mematuhi perundangan yang ditetapkan.
“Hasil daripada operasi yang dijalankan dalam tahun 2025, sebanyak 225 buah syarikat telah dibuka kertas siasatan, 52 buah syarikat telah dikenakan kompaun dan 17 buah syarikat sedang dalam proses pertuduhan di mahkamah.
“Dalam perkembangan sama, JKDM mencatat kutipan hasil RM23.60 bilion bagi suku pertama 2026, meningkat RM4.78 bilion atau 25 peratus berbanding RM18.82 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu,” menurut agensi itu dalam kenyataan.
Sehubungan itu, JKDM menyeru semua pembayar cukai supaya terus mematuhi undang-undang percukaian bagi memastikan kestabilan kutipan hasil negara serta menyokong pembangunan ekonomi di bawah kerangka Ekonomi Madani.
Pelancaran operasi itu disempurnakan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.- MalaysiaGazette















