TEHRAN – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan penamatan perang di semua medan konflik, termasuk di Lubnan, merupakan perkara paling penting dalam memorandum persefahaman damai yang diumumkan bersama Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.
Dalam taklimat kepada diplomat asing yang disiarkan televisyen negara pada Selasa, Araghchi berkata, Iran melihat memorandum itu melibatkan dua pihak utama iaitu AS dan Israel di satu pihak, manakala Iran serta Hezbollah di pihak yang lain.
“Perkara paling penting dalam memorandum ini ialah pengisytiharan penamatan perang secara serta-merta dan berkekalan di semua medan, termasuk di Lubnan,” katanya.
Beliau menegaskan, penamatan konflik di Lubnan adalah sebahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada usaha menamatkan perang secara menyeluruh.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Tehran dan Washington mengumumkan memorandum persefahaman yang bertujuan menamatkan konflik yang tercetus pada 28 Februari susulan serangan bersama AS dan Israel ke atas Iran, sebelum merebak ke seluruh Asia Barat.
Lubnan mula terlibat dalam konflik pada awal Mac apabila kumpulan Hezbollah yang disokong Iran melancarkan serangan roket ke arah Israel selepas pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, sekali gus mencetuskan serangan balas Israel dan pencerobohan darat.
Araghchi turut menegaskan, perang tidak boleh dianggap benar-benar berakhir selagi tentera Israel tidak berundur dari wilayah yang didudukinya sepanjang konflik tersebut.
“Sebarang serangan ketenteraan oleh rejim Zionis terhadap Lubnan selepas ini dan pendudukan berterusan wilayah Lubnan akan dianggap sebagai pelanggaran memorandum persefahaman ini,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyatakan tenteranya akan terus berada di Lubnan, Syria dan Gaza “selama mana diperlukan”.
Sejurus selepas pengumuman perjanjian damai pada Isnin, Hezbollah memaklumkan pihaknya telah menyerang tentera Israel yang cuba mara ke selatan Lubnan.
Memorandum itu dijangka ditandatangani pada Jumaat di Switzerland.
Timbalan Menteri Luar Iran, Majid Takht-Ravanchi berkata, Ketua Perunding negara itu, Mohammad Bagher Ghalibaf, akan mengetuai delegasi Iran ke majlis menandatangani perjanjian tersebut.
Menurut beliau, delegasi AS pula akan diketuai oleh Naib Presiden, JD Vance.
Bagaimanapun, katanya, kaedah rasmi pemeteraian masih belum diputuskan, termasuk sama ada ia akan dilakukan secara elektronik atau sebaliknya.
Araghchi turut memaklumkan, rundingan baharu antara Iran dan AS mengenai perjanjian muktamad berkaitan program nuklear Iran dijangka bermula sejurus selepas memorandum itu ditandatangani.
“Berkemungkinan pada Jumaat, di lokasi yang akan ditentukan kemudian, pusingan baharu rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat bagi mencapai perjanjian muktamad akan dimulakan,” katanya.
Beliau menambah, rundingan akhir itu akan memberi tumpuan kepada isu nuklear Iran serta usaha untuk menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas negara tersebut. – Agensi
















