KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam agar terus mengutamakan perpaduan dan menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat secara berhemah serta penuh hikmah demi mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan masyarakat.
Sempena Tahun Baharu 1448 Hijrah, baginda bertitah, peristiwa hijrah yang menjadi titik permulaan takwim Islam bukan sekadar perpindahan fizikal, sebaliknya melambangkan perubahan ke arah yang lebih baik serta penyatuan ummah dalam menghadapi pelbagai cabaran.
“Beta ingin mengulangi nasihat dan pesanan yang sering Beta tekankan agar umat Islam sentiasa mengutamakan perpaduan,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut mengimbau pesanan almarhum ayahanda baginda yang sering mengingatkan supaya tidak “wash dirty linen in public” iaitu jika terdapat sebarang masalah, perbezaan pandangan atau perkara yang perlu diperbetulkan, maka suarakanlah dengan penuh hikmah dan adab.
Jika mahu memberi nasihat atau teguran, lakukanlah dengan cara yang baik dan berhemah, titah baginda.
Tegas baginda, apa sahaja isu yang timbul hendaklah diselesaikan melalui perbincangan secara tertutup, dengan semangat saling menghormati dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
“Janganlah perkara-perkara yang boleh diselesaikan secara baik dibawa ke ruang awam sehingga mencetuskan pertelingkahan terbuka yang akhirnya hanya mendedahkan kelemahan umat dan bangsa kepada pandangan umum.
“Apabila kita bertengkar secara terbuka, pihak lain akan melihat kelemahan tersebut dan tidak mustahil ada yang mengambil kesempatan daripada perpecahan yang berlaku. Jika keadaan itu dibiarkan, tiada siapa yang akan benar-benar menang,” titah baginda.
Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin mengajak seluruh rakyat mengambil semangat hijrah untuk memperkukuh perpaduan, meningkatkan sikap toleransi serta mendahulukan kepentingan agama, bangsa dan negara mengatasi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.
Baginda turut berharap tahun baharu 1448 Hijrah akan membawa keberkatan, keamanan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat serta menjadi titik permulaan kepada usaha memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam kalangan umat Islam dan masyarakat keseluruhannya.
“Selamat Menyambut Awal Muharram dan Ma’al Hijrah 1448 Hijrah,” titah baginda. – MalaysiaGazette
















