KUALA LUMPUR – Penubuhan Tribunal bagi Antibuli bukan sekadar menyediakan pejabat fizikal, sebaliknya bertujuan memudahkan mangsa terutama pelajar dan kanak-kanak mengemukakan aduan menerusi platform dalam talian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Reformasi Institusi dan Undang-undang), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pendekatan itu penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak mereka serta memudahkan akses kepada sistem keadilan.
Menurut beliau, walaupun tribunal tersebut mempunyai ibu pejabat dan bilik bicara fizikal, orang ramai digalakkan menggunakan kemudahan pendaftaran secara dalam talian yang disediakan menerusi portal rasmi tribunal.
“Saya nak tekankan di sini bahawa walaupun ada pejabat secara fizikal kita nak menggalakkan masyarakat, terutama sekali kanak-kanak melihat kepada online registration di dalam portal dia.
“Jadi ini adalah sebenarnya pendekatan yang sangat penting supaya mereka mempunyai kesedaran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Tribunal Bagi Antibuli, hari ini.
Turut hadir adalah Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pengarah BHEUU, Datuk Zamri Misman, dan Presiden Tribunal bagi Antibuli, Nurul Husna Awang.
Untuk rekod, Tribunal ini diwujudkan menurut Seksyen 25 Akta Antibuli 2026 [Akta 876] yang bertindak sebagai sebuah agensi khusus untuk menangani, mengadili, dan memutuskan kes-kes berkaitan salah laku buli secara komprehensif, pantas, dan berkesan.
Pelancaran tribunal ini menandakan satu mercu tanda penting dalamkomitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk membanteras gejala buli sama ada buli lisan, fizikal, sosial mahupun siber yang kian meruncing dan mengancam kesejahteraan masyarakat, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Azalina turut berkata, pendekatan berasaskan teknologi itu akan diperkasakan menerusi kerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan orang ramai lebih memahami fungsi tribunal berkenaan.
Katanya, penekanan terhadap aspek pelaksanaan dan pendidikan kepada masyarakat amat penting bagi memastikan kewujudan undang-undang tersebut benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar.
“Selepas ini saya akan membuatkan lebih banyak pendekatan kepada agensi-agensi yang terlibat seperti Mara kemudian mendekatkan melalui Presiden Tribunal supaya kita ada banyak online perbincangan bersama dengan agensi-agensi yang terlibat.
“Kerana bagi saya adanya undang-undang itu satu faktor tetapi lebih penting tentang perlaksanaan dan pemakaian undang-undang.
“Tetapi yang lebih penting untuk memberikan kesedaran bagi anak-anak sekolah kita supaya mereka memahami tentang hak mereka,” katanya lagi.
Menurut beliau, langkah itu juga sejajar dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai hak mereka serta menggalakkan mangsa tampil mendapatkan keadilan melalui saluran yang disediakan.
Dalam sidang media sama, Azalina turut berkata ibu bapa atau keluarga pelaku turut menanggung liabiliti dalam kes buli termasuk melibatkan pembayaran denda di bawah Akta Antibuli.
Beliau berkata, peruntukan tersebut merupakan antara perbezaan utama akta berkenaan berbanding kes jenayah biasa yang hanya memfokuskan kepada pelaku.
“Kalau saudara sekalian lihat pada akta yang asal, kita meletakkan juga tanggungjawab kepada ibu bapa. Itu perbezaan dengan akta ini daripada kalau kita tengok kes jenayah biasa.
“Dia hanya kepada pembuat perlakuan, tetapi dalam akta anti-buli, kita meletakkan klausa untuk tanggungjawab, jadi isu berkenaan dengan pembayaran denda dan sebagainya juga akan mengikat kepada keluarga. Jadi kita transfer liabiliti ataupun joint liability kepada keluarga,” katanya lagi.
Portal ini boleh diakses melalui laman sesawang berikut: https://tab.bheuu.gov.my/ – MalaysiaGazette
















