KUALA LUMPUR – Polis Kontinjen Selangor menjelaskan sebanyak 300 tangkapan bagi tempoh Januari 2025 hingga Mei 2026 yang melibatkan warganegara Myanmar merangkumi pelbagai kategori kesalahan termasuk jenayah indeks.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sebanyak 227 tangkapan direkodkan sepanjang Januari hingga Disember 2025, manakala 73 lagi tangkapan dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
Menurutnya, jumlah tangkapan yang direkodkan itu bukan hanya membabitkan etnik Rohingya semata-mata, sebaliknya turut melibatkan tindakan penguatkuasaan terhadap warganegara Myanmar yang lain.
“Kesemua tangkapan yang dilakukan adalah melibatkan pelbagai kategori kesalahan termasuk kesalahan jenayah indeks,” katanya dalam kenyataan.
Shazeli berkata, Polis Kontinjen Selangor komited memastikan perkongsian maklumat yang jelas dan sahih kepada masyarakat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berhubung statistik jenayah melibatkan warga asing di negeri itu.
Beliau turut menghargai segala penyaluran maklumat serta kerjasama yang diberikan oleh masyarakat dalam membantu usaha menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di Selangor.
“Polis Kontinjen Selangor menghargai segala penyaluran maklumat serta kerjasama oleh masyarakat khususnya di negeri Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette
















