Albert Tei.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei mempersoalkan sikap kerajaan yang yang dilihat tidak mengambil tindakan terhadap Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali susulan dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap masyarakat Cina.

Beliau turut mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mempersoalkan pendirian kerajaan terhadap isu tersebut sambil mendakwa, tindakan tegas hanya diambil apabila melibatkan pihak lawan dalam politik.

Menurut beliau, sekiranya dakwaan penghinaan terhadap masyarakat Cina itu benar berlaku, pihak berkuasa dan kerajaan perlu mengambil tindakan yang adil tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik individu terbabit.

“Sikap pilih kasih dan layanan dua darjat dalam menangani isu sensitif boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat, khususnya generasi muda yang sedang membentuk pemikiran dan nilai mereka.

“Apabila melibatkan pihak sendiri, seolah-olah tiada tindakan diambil. Namun apabila melibatkan pihak lawan, semuanya dianggap salah.

“Sikap hipokrit dan layanan dua darjat seperti ini boleh merosakkan pemikiran generasi muda,” katanya di Facebook.

Beliau menggesa agar semua pihak mengamalkan prinsip keadilan dan konsisten dalam menangani sebarang kenyataan yang berpotensi menimbulkan ketegangan kaum atau menjejaskan keharmonian masyarakat.

Hisyamuddin atau lebih dikenali Syam Ghaz yang dilantik menerajui J-KOM pada 8 Jun lalu berdepan kritikan ramai selepas satu hantaran pada Sabtu lalu yang disifatkan sebagai rasis. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast