Dr. Zambry Abd Kadir.

KUALA LUMPUR – Pihak yang mendakwa terdapat antara 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti awam melalui “pintu belakang” perlu mengemukakan bukti kukuh kerana tuduhan berkenaan disifatkan sebagai serius, keterlaluan dan berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti sistem pendidikan tinggi negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan, dakwaan tersebut bukan sahaja boleh mencemarkan nama baik universiti-universiti awam, malah cuba membina persepsi bahawa peluang pelajar yang layak telah dirampas demi kepentingan tertentu.

Perkara itu kata beliau, memberi implikasi besar kepada ibu bapa dan pelajar yang sedang melalui proses kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

Katanya, sistem kemasukan ke universiti awam di negara ini dilaksanakan menerusi mekanisme yang jelas, telus serta berasaskan merit dan syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

“Sekiranya benar dakwaan bahawa terdapat antara 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti melalui saluran yang tidak sah atau menyalahi peraturan, maka pihak yang membuat tuduhan tersebut perlu mengemukakan bukti dan fakta yang menyokong dakwaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry berkata, sebagai seorang sarjana atau individu yang pernah berada dalam dunia akademik, setiap pandangan, kritikan dan hujah yang dikemukakan kepada umum seharusnya berasaskan fakta, data dan bukti yang boleh dipertanggungjawabkan.

Menurut beliau, tradisi akademik menuntut budaya perbahasan yang beradab, beretika dan membina, bukannya berasaskan tuduhan melulu, persepsi atau angka yang tidak dapat disahkan.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa bersikap terbuka menerima pelbagai pandangan dan kritikan yang konstruktif demi memperbaiki kelemahan serta meningkatkan mutu pendidikan tinggi negara.

“Namun keadaan menjadi berbeza apabila kritikan bertukar menjadi tuduhan yang serius dan tidak disandarkan kepada fakta yang sahih,” katanya.

Dalam pada itu Zambry memaklumkan, beberapa universiti awam telah mengambil langkah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap kenyataan yang dikeluarkan berhubung isu tersebut.

Jelas beliau, tindakan berkenaan bukan bertujuan menutup ruang kritikan atau menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya bagi memastikan setiap tuduhan yang dilemparkan dapat dibuktikan dan dipertanggungjawabkan mengikut proses undang-undang.

“Kebebasan bersuara bukan lesen untuk menyebarkan tuduhan tanpa asas. Kritikan adalah sebahagian daripada amalan demokrasi dan budaya intelektual yang sihat, namun ia mestilah berpaksikan fakta, bukti dan kejujuran intelektual.

“Dalam dunia akademik, hujah dijawab dengan fakta, analisis disokong dengan data dan tuduhan yang serius mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh,” katanya.

Tambah beliau, KPT akan terus mempertahankan integriti institusi pendidikan tinggi negara serta memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan tinggi Malaysia tidak dicemarkan oleh dakwaan yang tidak berasas. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kerajaan wajar mengemukakan tuntutan saman keatas pelaku fitnah agar berita yg mendatangkan kegusaran ini dapat dibendung sebelum ianya membarah dalam masyarakat.

Comments are closed.