KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mempersoalkan kelewatan kerajaan mendedahkan hasil siasatan berhubung kontroversi pegangan saham membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, walaupun siasatan berkenaan dilaporkan telah selesai.
Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Lee Boon Shian berkata, lebih sebulan telah berlalu sejak jurucakap kerajaan mengumumkan bahawa siasatan berhubung perkara itu telah diselesaikan dan laporannya diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara untuk tindakan lanjut.
Namun, katanya, sehingga kini orang ramai masih belum dimaklumkan mengenai penemuan siasatan, termasuk sama ada terdapat sebarang salah laku serta tindakan yang akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran peraturan atau undang-undang.
Menurut beliau, persoalan utama ketika ini bukan lagi sama ada siasatan telah dijalankan, sebaliknya sama ada kerajaan bersedia untuk mendedahkan hasil siasatan tersebut kepada rakyat.
“Ketelusan tidak boleh diamalkan secara terpilih, lebih-lebih lagi apabila kes ini melibatkan individu yang pernah menerajui agensi utama negara dalam usaha memerangi rasuah,” katanya dalam satu kenyataan.
Gerakan juga berpandangan keyakinan rakyat terhadap institusi awam tidak dapat dipulihkan melalui kerahsiaan yang berpanjangan, sebaliknya memerlukan penjelasan terbuka mengenai hasil siasatan serta asas kepada setiap keputusan yang dibuat.
Dalam masa sama, parti itu turut menyatakan rakyat masih menunggu perkembangan beberapa siasatan berprofil tinggi lain, termasuk kes yang sebelum ini dikaitkan dengan dakwaan melibatkan “mafia korporat”.
Menurut Boon Shian, kerajaan tidak seharusnya hanya mengumumkan pelancaran sesuatu siasatan atau tindakan awal tanpa memberikan maklumat lanjut mengenai hasil dan penyelesaiannya.
Sehubungan itu, parti tersebut menggesa kerajaan segera mendedahkan penemuan siasatan berkaitan isu pegangan saham Azam Baki kepada umum.
Selain itu, Gerakan turut menuntut penjelasan sama ada sebarang tindakan pentadbiran, tatatertib atau undang-undang akan diambil berdasarkan hasil siasatan tersebut.
Kerajaan juga digesa menetapkan garis masa yang jelas bagi pendedahan keputusan siasatan melibatkan pegawai kanan kerajaan dan institusi awam, mempercepatkan transformasi institusi SPRM melalui mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh serta mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sekiranya masih terdapat persoalan yang belum terjawab dan keyakinan awam tidak dapat dipulihkan.
Menurutnya, integriti institusi negara bukan sahaja bergantung kepada pelaksanaan siasatan, malah turut memerlukan kesediaan kerajaan untuk memastikan keputusan siasatan didedahkan secara telus kepada rakyat sebagai sebahagian daripada prinsip akauntabiliti dalam sebuah demokrasi yang matang. – MalaysiaGazette
















