KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian ikan mati di Tasik Taman Danau Kota yang berlaku baru-baru ini, dengan pemerhatian awal mendapati insiden berkenaan dipercayai berpunca daripada perubahan kualiti air susulan hujan lebat berterusan.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, Tasik Taman Danau Kota bukan sahaja berfungsi sebagai kawasan rekreasi awam, malah turut berperanan sebagai kolam takungan banjir.
Menurutnya, kejadian ikan mati seperti itu pernah berlaku di beberapa tasik dan kolam takungan banjir sekitar Kuala Lumpur, khususnya selepas episod hujan lebat yang berpanjangan.
“Air yang mengalir masuk ke tasik daripada kawasan tadahan lazimnya membawa sedimen, bahan organik, sampah dan bahan pencemar melalui sistem saliran sebelum memasuki tasik.
“Berdasarkan pemerhatian awal, kejadian ini dipercayai berpunca daripada penurunan kandungan oksigen terlarut, perubahan kualiti air serta kemasukan sedimen dan bahan pencemar ke dalam tasik akibat hujan lebat berterusan,” menurut kenyataan tersebut.
DBKL menjelaskan keadaan tersebut boleh memberi tekanan kepada hidupan akuatik dan menjejaskan kelangsungan hidup ikan.
Sehubungan itu, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan ikan mati bagi mengelakkan pencemaran air yang lebih serius, mengurangkan risiko kepada kesihatan awam serta memastikan keselesaan pengunjung.
Selain itu, perangkap sampah turut dipasang di saluran masuk tasik bagi mengawal kemasukan sampah terapung dan bahan pencemar.
Pada masa sama, DBKL bersama Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan telah menjalankan pensampelan air pada 16 Jun lalu untuk tujuan analisis kualiti air dan mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada kejadian tersebut.
DBKL memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan tasik dan melaksanakan tindakan susulan yang bersesuaian bagi memastikan kawasan rekreasi itu kekal selamat, bersih dan selesa untuk kegunaan orang ramai. – MalaysiaGazette















