LIPIS – “Jangan sampai biduk yang ditumpangkan akhirnya mahu menentukan haluan nakhoda. Jangan sampai kerana terlalu murah hati, tuan rumah pula dipersoalkan haknya di rumah sendiri,” itu titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sultan Pahang menekankan kepentingan memelihara kedaulatan negara dalam mengurus isu-isu semasa, termasuk dalam soal kemanusiaan dan kebajikan, agar tidak melangkaui batas undang-undang serta kepentingan negara.
Ujar baginda Islam mengajar untuk berbuat ihsan terhadap mereka yang ditimpa musibah, kehilangan tanah air serta menjadi mangsa peperangan dan penindasan.
Namun, rahmah yang dianjurkan agama tidak pernah bererti kita mengabaikan kedaulatan negara atau membiarkan belas ihsan melangkaui batas yang ditetapkan oleh undang-undang.
“Kebelakangan ini, rakyat semakin gusar apabila melihat golongan tertentu yang pada asalnya diterima atas dasar kemanusiaan, kini semakin berani mengemukakan pelbagai tuntutan yang tidak selari dengan kedudukan mereka di negara ini.
“Dalam adat melayu dan ajaran Islam, tetamu sentiasa dimuliakan. Namun tetamu yang mengenal adab akan tahu menghargai budi, menghormati undang-undang dan memahami batas dirinya,” titah Paduka Baginda.
Tambah baginda rakyat negara ini telah lama menunjukkan sifat pemurah dan berperi kemanusiaan.
Namun titahnya kemurahan hati itu jangan sekali-kali disalah tafsir sebagai kelemahan.
“Tangan yang menghulurkan bantuan tidak seharusnya dibalas dengan suara yang semakin meninggi, apatah lagi dengan tuntutan yang semakin menjauh daripada kewajaran.
“Justeru, saya berharap pihak berkuasa akan terus bertindak dengan tegas, bijaksana dan berhemah dalam menangani isu ini menurut lunas undang-undang. Kedaulatan negara hendaklah dipelihara tanpa kompromi, keamanan rakyat mesti dipertahankan tanpa ragu, dan hak warganegara wajib dijunjung tanpa pengecualian.
“Sesungguhnya, belas ihsan itu lambang kemuliaan sebuah bangsa, tetapi kedaulatan negara adalah amanah yang tidak boleh digadai,” tegas Tuanku.
Sementara itu baginda bertitah bahawa bantuan kepada rakyat tidak seharusnya bersifat bermusim, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan, berhemah dan berlandaskan keikhlasan tanpa mengira keadaan atau situasi politik semasa.
Baginda menegaskan bahawa kepimpinan hari ini tidak lagi dinilai berdasarkan kepetahan berbicara semata-mata, sebaliknya diukur melalui kejujuran menunaikan janji serta kebertanggungjawaban terhadap amanah yang diberikan.
“Rakyat tidak mendambakan pemimpin yang hanya petah berbicara, sebaliknya mengharapkan pemimpin yang menjadikan kata-kata sebagai pegangan, janji sebagai kenyataan dan amanah sebagai tanggungjawab yang dipikul sehingga selesai.
“Hijrah bukan sekadar langkah kaki meninggalkan bumi kelahiran, tetapi hijrah hati daripada kepentingan diri kepada amanah yang dipikul, daripada kata-kata yang indah kepada tindakan yang memberi manfaat,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi yang berlangsung di Laman Sejahtera Jelai, di sini hari ini yang dikongsikan menerusi kenyataan di laman Facebook Kesultanan Pahang.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Dalam pada itu, Sultan Pahang turut menzahirkan kebimbangan terhadap budaya menabur janji yang hanya muncul pada musim tertentu, khususnya ketika pilihan raya, namun pudar selepas mendapat mandat.
“Bantuan kepada rakyat tidak seharusnya hadir seperti hujan bermusi lm yang hanya lebat ketika pilihan raya, kemudian hilang apabila musim berlalu.
“Sebaliknya, kebajikan rakyat hendaklah mengalir seperti sungai yang tidak pernah berhenti menuju muara,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Pahang turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang yang sentiasa komited melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan rakyat secara berterusan tanpa mengira musim dan keadaan.
Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa pendekatan berterusan itu penting bagi membina keyakinan rakyat terhadap kepimpinan serta memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara.
“Rakyat boleh memaafkan kesilapan, tetapi sukar melupakan kepura-puraan. Rakyat boleh menerima kekurangan, tetapi tidak dapat menerima pemimpin yang bercakap dengan dua lidah dan berjalan dengan dua bayang,” titahnya. – MalaysiaGazette
















