Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) dan Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin (kiri) ketika sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU tergempar di Ibu Pejabat BERSATU di Yayasan Selangor Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 JUN 2026

PETALING JAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui hubungan antara parti itu dengan Pas ketika ini berada dalam keadaan sukar untuk dipulihkan selepas tercetus kemelut antara kedua-dua pihak.

Malah beliau tidak begitu yakin usaha pihak ketiga mampu menjadi orang tengah bagi mendamaikan semula hubungan yang retak itu.

Menurut Muhyiddin, walaupun beliau tidak menolak sepenuhnya kemungkinan tersebut, kenyataan yang dikeluarkan oleh kepimpinan Pas sebelum ini disifatkan terlalu berat sehingga menjadikan usaha penyatuan semula bukan sesuatu yang mudah.

“Saya tidak kata saya tak percaya (untuk usaha pihak ketiga pulihkan hubungan Pas-Bersatu) tapi selama yang saya tahu setakat sekarang ini, mereka itu (MIPP dan Gerakan) adalah ahli baru,” katanya kepada selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di ibu pejabat parti di sini malam tadi.

Muhyiddin turut menyedari terdapat pihak yang cuba memainkan peranan sebagai third force atau orang tengah bagi merapatkan kembali hubungan antara kedua-dua parti.

“Jadi saya tak kata dia (MIPP dan Gerakan) tak boleh buat. Kita pun ada interaksi dan bincang tapi saya belum nampak ada usaha untuk menjadi pihak ketiga,” katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak terbabit sekiranya niat mereka adalah untuk menyatukan semula kerjasama yang pernah terjalin.

“Kalau niat ini baik, kalau nak kukuhkan balik, siapa pun saya fikir boleh buat.  Tapi kami sudah tahu dengan apa yang sudah berlaku ini, macam nak kata berpatah arang, susahlah.

“Tapi kenyataan-kenyataan yang keluar daripada pihak di sana itu cukup berat. Kita manusia kan? Kalau seorang macam pun ini, agak lebih daripada batasan biasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast