Proton Aruz yang videonya tular di media sosial baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun selepas dipercayai memandu secara mencurigakan dan membahayakan pengguna jalan raya di Jalan Kepong, di sini.

Penahanan itu dilakukan susulan kemalangan melibatkan sebuah Proton Aruz yang videonya tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi kira-kira seminit memaparkan sebuah Proton Aruz berwarna merah terlibat dalam kemalangan di Jalan Kepong.

Menurut beliau, kemalangan itu berlaku pada 6 Jun lalu kira-kira pukul 12.30 tengah malam melibatkan Proton Aruz yang dipandu lelaki tempatan.

“Hasil siasatan awal mendapati pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan selepas tayar hadapan kanan dan tayar belakang kiri pecah sebelum terbabas serta melanggar pembahagi jalan.

“Kejadian menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan kenderaan termasuk bumper, bonet, lampu, fender, rim serta tayar hadapan dan belakang, namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, pada hari yang sama kira-kira pukul 1.15 pagi, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang menjalankan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) mengesan kenderaan tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan dan berbahaya di Jalan Kepong.

Katanya, kenderaan itu kemudian berjaya ditahan di hadapan sebuah premis di Jalan Barat, Jinjang Utara.

“Hasil semakan mendapati pemandu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing yang dijalankan adalah negatif.

“Kenderaan tersebut turut dirampas bagi tujuan siasatan lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata, JSPT Kuala Lumpur mengesahkan video yang tular itu adalah berkaitan kejadian kemalangan yang sama dan laporan polis dibuat pada 8 Jun lalu selepas kenderaan terbabit ditahan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast