TIJUANA, Mexico – Penyerang Iran, Mehdi Torabi, telah menerima visa baharu daripada Amerika Syarikat (AS), membolehkan beliau terus beraksi dalam baki saingan Piala Dunia 2026, menurut seorang pegawai pasukan.
Torabi, yang hanya berada di bangku simpanan ketika Iran seri 2-2 menentang New Zealand dalam perlawanan pembukaan sebelum ini hanya diberikan visa kemasukan sekali ke AS, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai penyertaannya dalam baki kejohanan.
Situasi itu memaksa Persekutuan Bola Sepak Iran mencari penyelesaian segera bagi membolehkan pemain berkenaan kembali ke AS untuk menghadapi Belgium pada Ahad ini.
“Susulan usaha Persekutuan Bola Sepak Iran dan penyelarasan bersama FIFA, pemain itu telah diberikan visa baharu yang membenarkan kemasukan berulang pada hari ini.
“Dengan visa tersebut, Torabi tidak lagi berdepan sebarang masalah untuk bersama skuad kebangsaan Iran dalam perlawanan akan datang dan boleh melakukan perjalanan bersama pasukan sepanjang baki kejohanan,” kata pegawai itu.
Iran dijadual menentang Mesir dalam aksi terakhir Kumpulan G di Seattle pada 26 Jun.
Isu visa itu merupakan cabaran terbaharu yang dihadapi skuad Iran menjelang Piala Dunia selepas penyertaan mereka sebelum ini menjadi tanda tanya susulan konflik ketenteraan melibatkan AS, Israel dan Iran yang tercetus pada penghujung Februari.
Ketegangan itu menyebabkan Iran bertindak balas dengan menyasarkan beberapa infrastruktur milik sekutu AS di rantau berkenaan selain menutup Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dunia.
Pada awalnya, skuad Iran dijadualkan menjadikan Arizona sebagai kem latihan, namun rancangan itu dibatalkan pada saat akhir dan pangkalan pasukan dipindahkan ke Tijuana, Mexico.
Selain itu, pihak berkuasa AS turut dilaporkan menolak permohonan visa lebih sedozen kakitangan sokongan pasukan, menyebabkan mereka tidak dapat mengiringi skuad ke lokasi perlawanan.
Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei, pada Isnin menyifatkan pasukannya sebagai “pasukan yang paling teraniaya di Piala Dunia” selepas diarahkan pulang ke Mexico sejurus tamat aksi pembukaan menentang New Zealand.
“Mereka melengahkan ketibaan kami dan kini memaksa kami pulang lebih awal tanpa masa yang mencukupi untuk pemulihan.
“Mereka terus menyukarkan keadaan dan meletakkan lebih banyak halangan kepada kami, namun kami tidak akan membiarkan perkara itu menghalang usaha untuk memberikan aksi terbaik,” katanya. – Agensi
















