KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang terlibat dalam kes khianat dan merosakkan harta benda pondok pengawal sebuah residensi di Bukit Jalil pada April lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek yang berusia 38 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (D7) di IPD Brickfields pada 14 Jun lalu, selepas disyaki mengamuk akibat tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan residensi itu.
“Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam insiden berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam kejadian pada 23 April lalu, suspek bertindak memarahi pengawal keselamatan sebelum memukul palang pintu, memecahkan cermin hadapan pondok pengawal, dan merosakkan kamera litar tertutup (CCTV).
Suspek kini ditahan reman selama dua hari mulai sehingga semalam.
Mohd Rosdi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Sementara itu, beliau turut mengesahkan kes pukul dan ugut di sebuah kedai makan di Desa Sri Puteri pada 9 Jun lalu, jam 11.05 malam melibatkan seorang lelaki berumur 31 tahun.
Katanya, lelaki berkenaan bertindak memukul dan mengugut pengadu dengan menunjukkan objek yang menyerupai pistol.
“Kes telah disiasat dibawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.Kes masih dalam siasatan,” katanya ringkas.-MalaysiaGazette
















