KUALA LUMPUR – Seramai 272 pelajar baharu program pengajian diploma Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini secara rasmi melafazkan ikrar bersempena dengan pelaksanaan Minggu Perkasa Jati Diri (MPJD) Diploma 2026.
Majlis yang berlangsung dari 14 hingga 19 Jun 2026 di kampus UPNM ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad, serta turut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi universiti.
UPNM berkata, majlis bacaan ikrar ini bukan sekadar sebuah acara tradisi, malah merupakan simbolik komitmen serta kesediaan para pelajar baharu untuk memulakan fasa kehidupan menara gading sebagai warga UPNM.
Dengan menjunjung tinggi nilai disiplin, integriti, kecemerlangan dan patriotisme, program ini menjadi teras utama dalam membentuk sahsiah dan jati diri mahasiswa universiti ini.
Komposisi penuntut baharu bagi pengambilan kali ini mencerminkan kepelbagaian disiplin pengajian bertujuan memenuhi keperluan strategik negara dan industri.
Daripada jumlah keseluruhan 272 pelajar yang mendaftar, seramai 146 pelajar memilih program Diploma Kecergasan Pertahanan, diikuti oleh 50 pelajar bagi Diploma Pengurusan Logistik, 44 pelajar bagi Diploma Pentadbiran Perniagaan, dan seramai 32 pelajar bagi program Diploma Tahfiz dan Tafsir Al-Quran.
Naib Canselor UPNM dalam ucapannya berkata, beliau yakin lafaz ikrar dan sumpah keramat siswa yang dibacakan oleh para pelajar hari ini akan diterjemahkan melalui tindakan dan amalan sepanjang tempoh pengajian.
Ia bukan sekadar ungkapan kata-kata, sebaliknya perlu benar-benar difahami, dihayati, dilaksanakan, dan dizahirkan melalui tindakan yang sewajarnya.
“Kekangan kewangan bukan pengakhiran cita-cita dalam menuntut ilmu kerana pelbagai bantuan disediakan kepada mereka yang kurang berkemampuan sama ada untuk golongan B40, asnaf sekalipun, serta bagi pelajar yang berdepan cabaran lain seperti bencana dan kecemasan.
“Bantuan-bantuan ini tersedia bermula daripada sebelum dan semasa pendaftaran, sepanjang pengajian hingga bergraduat,” katanya.
Tambah beliau, UPNM kekal fokus dan bantuan-bantuan dalam membantu pelajar dalam aspek kewangan sentiasa menjadi fokus utama.
“Sampaikan mesej ini juga kepada ibu bapa dan penjaga supaya mereka tidak bimbang dan risau. Sebagai anak dan pelajar pula, adalah tanggungjawab kamu untuk kekal fokus kepada pengajian dan membina kecemerlangan dan jati diri kerana segala keperluan fasiliti dan akademik diuruskan oleh universiti,” katanya.
Bagi tahun ini, UPNM dijangka menerima unjuran seramai 1,004 orang pelajar baharu untuk kemasukan program asasi dan diploma, yang mana program asasi bakal menyusul dengan jangkaan kemasukan seramai 732 orang pelajar.
Sementara itu, bagi program sarjana muda pula, seramai 1,600 mahasiswa dijadualkan untuk mendaftar untuk memulakan pengajian mereka pada bulan September ini. – MalaysiaGazette















