JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) didakwa kontang idea dan hanya memainkan sentimen kebencian serta perkauman sebagai modal politik untuk dijadikan bahan semasa berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sehingga kini PH masih belum menampilkan calon Menteri Besar Johor mereka.
Sebaliknya, beliau mendakwa, kempen pihak lawan lebih banyak tertumpu kepada serangan politik berbanding menawarkan penyelesaian terhadap isu yang dihadapi rakyat negeri ini.
“Setakat ini apa yang saya lihat, mereka lebih banyak menabur fitnah, memainkan fakta yang tidak tepat dan menghasut rakyat dengan perkara-perkara yang tidak betul berbanding mengemukakan idea atau dasar yang boleh memajukan Johor.
“Rakyat Johor cukup matang untuk menilai. Mereka boleh membezakan antara fakta dan fitnah serta menentukan siapa yang benar-benar mempunyai perancangan terbaik untuk masa depan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam temuramah bersama-sama media Johor di kediaman rasminya di Saujana, di sini semalam.
Menteri Besar Johor itu berkata, PH tiada tawaran jelas kepada rakyat terutama pelan pembangunan untuk tempoh lima tahun ini jika mereka berjaya bentuk kerajaan negeri.
“Rakyat Johor berhak mengetahui siapa yang bakal menerajui pentadbiran negeri sekiranya PH diberi mandat memandangkan perkara itu merupakan aspek penting dalam menentukan hala tuju kerajaan.
“Mereka bercakap soal perubahan, tetapi rakyat mahu tahu siapa calon menteri besar mereka. Sampai hari ini masih tiada jawapan yang jelas diberikan kepada rakyat.
“Bukan itu sahaja, saya juga tidak melihat sebarang idea pembangunan baharu atau perancangan yang boleh membawa Johor ke tahap lebih tinggi berbanding apa yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini,” katanya.
Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri yang diterajui BN ketika ini mempunyai rekod pencapaian yang boleh dinilai rakyat termasuk kejayaan menarik pelaburan bernilai lebih RM110 bilion, peningkatan hasil negeri serta pelbagai program kebajikan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Katanya, pelbagai inisiatif seperti Bantuan Kasih Johor (BKJ), bantuan perumahan, bantuan sewa rumah, bantuan pembelian rumah, program sifar miskin tegar dan pelbagai lagi telah dilaksanakan tanpa mengira kaum atau latar belakang penerima.
“Bagi saya yang lebih penting bukan angka semata-mata tetapi bagaimana hasil pembangunan itu dapat dirasai rakyat. Sebab itu kita pastikan manfaat ekonomi disalurkan kembali kepada rakyat menerusi pelbagai program bantuan dan kebajikan,” katanya.- MalaysiaGazette
















