KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam bersama anak perempuannya berusia dua tahun cedera selepas terbabit dalam kemalangan dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Reko, Kajang, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abd Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 7.45 pagi.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan melibatkan dua buah kereta yang masing-masing datang dari arah bertentangan.
Ujarnya, sebuah kereta dari arah Kajang menuju ke Jalan Reko, manakala sebuah lagi kenderaan dari arah bertentangan yang dipercayai mahu memasuki simpang menuju ke stesen MRT Jalan Reko.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta melibatkan lelaki berusia 36 tahun dan anak perempuanya mengalami kecederaan di kepala dan tangan.
“Seorang lagi pemandu lelaki iaitu peniaga berumur 50 tahun mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambah beliau, punca kemalangan masih dalam siastaan dan meminta pemilik dashcam untuk membantu siasatan.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Saifudin Saadun di talian 011-21119379.
Terdahulu tular di aplikasi Thread berkenaan kemalangan yang didakwa berlaku akibat ketiadaan tiang lampu isyarat berdekatan MRT Jalan Reko dengan situasi kesesakan jalan berlaku hampir seminggu. – MalaysiaGazette
















