KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara diseru supaya sentiasa menjaga adab dan menghormati budaya serta penduduk tempatan bagi memastikan imej negara terus dipandang tinggi di peringkat antarabangsa.
Seruan itu dibuat Pengasas dan Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N Sivakumar susulan tular satu video yang memaparkan sekumpulan rakyat Malaysia yang sedang melancong di luar negara membuat kenyataan berbaur penghinaan terhadap rakyat tempatan negara berkenaan.
Menerusi video berkenaan, individu terbabit didakwa mengkritik pemandu pelancong tersebut dengan mengeluarkan kenyataan bahawa individu itu ‘berbau dan tidak mandi’, selain turut dilihat ketawa ketika komen berkenaan dibuat.
Tindakan itu mengundang kecaman ramai, termasuk daripada rakyat negara berkenaan yang menyifatkan perbuatan sedemikian tidak beradab dan boleh mencemarkan imej Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.
Sivakumar berkata, beliau memandang serius dan kecewa terhadap tindakan segelintir pelancong Malaysia yang didakwa memperlekeh, menghina serta mempersendakan penduduk tempatan ketika berada di luar negara.
Menurutnya, perbuatan sedemikian bukan sahaja tidak wajar, malah bertentangan dengan nilai murni yang selama ini menjadi identiti rakyat Malaysia yang dikenali sebagai masyarakat berbilang kaum, beradab dan menghormati kepelbagaian budaya.
“Melancong sepatutnya menjadi satu pengalaman yang membuka ruang untuk kita mempelajari sejarah, budaya, adat resam dan cara hidup masyarakat di negara lain.
”Ini bukannya platform untuk membuat perbandingan secara menghina atau merendahkan maruah penduduk tempatan demi meraih perhatian di media sosial,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata, apabila berada di negara orang, rakyat Malaysia hadir sebagai tetamu dan mempunyai tanggungjawab moral untuk menghormati undang-undang, budaya serta sensitiviti masyarakat setempat.
Katanya, menghormati sesebuah negara bukan sekadar mematuhi peraturan, tetapi turut melibatkan sikap sopan santun, menjaga tutur kata dan menghargai kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat berkenaan.
“Jika seseorang memilih untuk berkunjung ke sesebuah negara, maka mereka perlu menghormati rakyat yang mendiami negara tersebut.
“Sekiranya tidak mampu menghormati penduduk tempatan, timbul persoalan mengapa memilih untuk datang sebagai pelancong.
“Tiada siapa yang berhak merendahkan maruah orang lain hanya kerana perbezaan budaya, bahasa, taraf ekonomi atau cara hidup,” tegasnya.
Sivakumar berkata, dalam era digital hari ini, setiap tindakan dan kenyataan yang dikongsikan di media sosial mampu tersebar ke seluruh dunia dalam tempoh singkat.
Menurutnya, sikap tidak bertanggungjawab oleh segelintir individu boleh memberi kesan besar terhadap imej Malaysia dan meninggalkan persepsi negatif terhadap seluruh rakyat negara ini.
“Hakikatnya, majoriti rakyat Malaysia dikenali sebagai masyarakat yang berbilang kaum, beradab, bersopan santun dan menghormati kepelbagaian budaya.
“Nilai saling menghormati inilah yang perlu terus dipertahankan dan dijadikan panduan ketika berinteraksi dengan masyarakat antarabangsa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara supaya menjadi duta kecil negara dengan mempamerkan akhlak yang baik, menghormati undang-undang tempatan, menjaga tutur kata serta membawa imej Malaysia yang positif ke mana sahaja mereka pergi.
“Kita tidak boleh mengawal bagaimana orang lain melihat negara kita, tetapi kita boleh mengawal tingkah laku dan sikap kita sendiri. Setiap rakyat Malaysia yang berada di luar negara membawa bersama nama baik negara di bahu mereka.
“Apabila kita menjadi tetamu di negara orang, hormatilah rakyat, budaya dan cara hidup mereka. Jika kita tidak mampu menghormati mereka, maka janganlah memilih untuk datang sebagai pelancong.
”Jadilah pelawat yang beradab, bukan pelawat yang meninggalkan rasa kecewa,” ujarnya. – MalaysiaGazette















