Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar.

KUALA LUMPUR – Seramai 58 individu terdiri daripada 54 lelaki dan empat wanita ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian online sempena Piala Dunia menerusi Op Soga XI.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kesemua mereka ditahan dalam 52 serbuan yang dijalankan operasi yang bermula pada 11 Jun hingga 19 Julai lalu.

Menurut beliau, turut dirampas dalam operasi tersebut adalah wang tunai berjumlah RM25,684.65 dan nilai pertaruhan berjumlah RM488,582.47.

Tambahnya, dalam operasi itu juga, sebanyak 42 laman sesawang iaitu laman web, platform, aplikasi dan media sosial telah terkesan digunakan bagi aktiviti pertaruhan bola sepak dan promosi aktiviti perjudian.

“Justeru, tindakan sekatan laman web dan penurunan kandungan akan dibuat dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua tangkapan telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut di bawah beberapa peruntukan kesalahan.

Antaranya, ujar beliau, Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 yang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara bagi tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Selain itu, katanya, Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM200,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun.

Turut disiasat, tambahnya, di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih dari RM50,000 serta penjara tidak melebihi tiga tahun dan hendaklah dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.

“Siasatan juga akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.

Sehubungan itu, tambah M. Kumar, PDRM akan terus mempergiatkan operasi dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan serta memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi berkepentingan.

“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast