Perjalanan Langkapuri Curry House bermula di Setapak pada tahun 1988 sebagai sebuah gerai jalanan sebelum ianya berubah ikut peredaran zaman.

KUALA LUMPUR – Ada restoran yang sekadar menyajikan makanan dan ada juga yang menawarkan pengalaman serta kenangan yang sukar dilupakan.

Langkapuri Curry House tergolong dalam kategori kedua.

Bagi ramai pelanggan setianya, restoran ini bukan sekadar destinasi untuk menikmati hidangan India Malaysia malah menjadi tempat yang menyimpan pelbagai kenangan, mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan yang terjalin sejak bertahun-tahun lalu.

Perjalanan Langkapuri Curry House bermula di Setapak pada tahun 1988 sebagai sebuah gerai jalanan yang diusahakan oleh pasangan suami isteri, Balakrishnan Nair atau lebih dikenali sebagai Len Seng Bala dan Letchumy.

Dengan impian untuk memperkenalkan masakan India Malaysia kepada lebih ramai masyarakat, pasangan itu membina perniagaan tersebut dari bawah sehingga berjaya meraih kepercayaan dan sokongan pelanggan sebelum berkembang menjadi sebuah restoran yang dikenali sebagai Langkapuri Curry House.

Pengasas Langkapuri Curry House, pasangan suami isteri Balakrishnan Nair dan isteri sekitar 1988.

Namun perjalanan membina jenama itu bukan sesuatu yang mudah.

Pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi termasuk kehilangan Balakrishnan Nair pada tahun 2018 selain operasi perniagaan yang terpaksa dihentikan ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Di sebalik cabaran itu, legasi yang ditinggalkan tidak terhenti di situ.

Anak lelaki pasangan tersebut, Sivasankaran Nair kemudiannya mengambil keputusan untuk menghidupkan semula impian ibu bapanya dengan membuka Langkapuri Curry House di Kepong selepas pandemik Covid-19.

Usaha itu turut disokong isterinya, R R Ranjanii, yang bersama-sama mengembangkan jenama berkenaan sambil mengekalkan keaslian masakan India Malaysia serta sentuhan rempah India Selatan yang menjadi identiti unik restoran tersebut.

Selepas sekian lama beroperasi dan mencipta nama di Kepong, Langkapuri Curry House kini bersedia membuka lembaran baharu dengan berpindah ke premis yang lebih luas di Sentul.

Restoran itu dijadualkan memulakan operasi secara rasmi pada 12 Julai ini.

Sivasankaran Nair

Antara menu yang sering menjadi pilihan pelanggan ialah nasi daun pisang yang dihidangkan bersama pelbagai jenis sayuran, thokku, papadom dan pilihan kuah kari yang dimasak menggunakan campuran rempah istimewa.

Selain itu, nasi briyani, kari kepala ikan, kambing varuval, ayam goreng berempah, sotong goreng pedas, udang sambal, ayam peratal serta pelbagai pilihan kari tradisional turut menjadi kegemaran ramai.

Lanka Rice yang menjadi antara hidangan istimewa restoran itu, turut mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelanggan setianya.

Antara hidangan ‘signature’, nasi langka.

Keistimewaan Langkapuri Curry House bukan sahaja terletak pada kepelbagaian menu yang dekat dengan cita rasa masyarakat Malaysia, malah pada komitmen mereka untuk mengekalkan keseimbangan rasa dalam setiap hidangan sehingga berjaya membentuk identitinya yang tersendiri.

Selain makanan yang berkualiti, suasana mesra keluarga yang diterapkan turut menjadi antara faktor utama yang membuatkan pelanggan terus setia.

Ada yang mula datang sebagai pasangan muda dan kini membawa anak-anak mereka menikmati hidangan yang sama, sekali gus menjadikan Langkapuri Curry House sebahagian daripada memori kehidupan mereka.

Kepada MalaysiaGazette, Sivasankaran dan Ranjanii berkata, pembukaan premis baharu di Sentul bukan sekadar melibatkan pertukaran lokasi sebaliknya melambangkan kesinambungan perjuangan dan usaha keras dimulakan oleh ibu bapa mereka hampir empat dekad lalu.

Menurut pasangan itu, sokongan yang diterima daripada pelanggan setia selama ini menjadi sumber inspirasi dan kekuatan untuk terus mengembangkan jenama berkenaan.

“Ramai pelanggan kami bukan lagi sekadar pelanggan biasa malah sudah dianggap seperti keluarga sendiri. Ada yang bersama kami sejak di Kepong dan kini membawa anak-anak mereka yang sedang membesar. Sokongan seperti ini amat bermakna buat kami,” kata mereka.

Mereka berkata, perpindahan ke Sentul juga membuka ruang untuk Langkapuri Curry House mendekati lebih ramai pelanggan tanpa mengubah identiti yang telah dibina sejak hari pertama.

Di tengah-tengah kesibukan Kuala Lumpur yang sentiasa berubah, Langkapuri Curry House tetap berpegang kepada satu prinsip sederhana namun cukup bermakna, iaitu makanan yang baik bukan sahaja mengenyangkan perut, malah mampu mencipta kenangan yang kekal dalam ingatan pelanggan.

Dengan pembukaan premis baharu di Sentul pada 12 Julai ini, Sivasankaran dan Ranjanii berharap Langkapuri Curry House akan terus menjadi destinasi pilihan masyarakat yang ingin menikmati pengalaman menjamu selera yang autentik sambil meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia.

Mungkin itulah rahsia sebenar di sebalik Langkapuri Curry House, bukan sekadar sebuah restoran, tetapi sebuah tempat yang menyimpan rasa, cerita dan memori yang terus diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast