JOHOR BAHRU – Seramai 12,710 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Johor layak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, jumlah berkenaan membabitkan pegawai dan anggota yang bertugas di negeri itu daripada pelbagai formasi PDRM.
Katanya, jumlah tersebut adalah berdasarkan senarai pemilih yang didaftarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 21 Mei lalu.
“Senarai pemilih untuk pengundi awal PDRM Johor berdasarkan daftar pemilih yang didaftarkan SPR berakhir 21 Mei 2026 ialah seramai 12,710 orang.
“Undi awal ini meliputi pegawai, anggota yang bertugas di bawah pentadbiran kontinjen Johor termasuklah formasi yang ada di negeri Johor seperti Maktab Teknik PDRM di Bakri, Muar, dua batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Simpang Renggam dan Muar.
“Kita mempunyai Pusat Latihan Polis Segamat dan Pusat Latihan Polis Marin di Tampoi, Pangkalan Polis Marin Wilayah Dua di Tampoi dan Pasukan Simpanan Perselisihan (FRU) di Johor,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
SPR sebelum ini menetapkan 27 Jun ini sebagai hari penamaan calon manakala 7 Julai pula adalah hari mengundi awal.
Sementara itu, 11 Julai pula ditetapkan sebagai hari mengundi bagi PRN Johor Ke-16. – MalaysiaGazette
















